UMNO Buka Kaunter Khas Mudahkan Penghantaran Borang Calon Pemilihan Parti

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Hari ini adalah tarikh akhir untuk penghantaran nama pencalonan bagi bertanding dalam pemilihan UMNO 2018 sama ada secara dalam talian (online) atau melalui serahan secara terus.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat UMNO telah membuka kaunter khas bagi memudahkan ahli-ahli UMNO yang berhasrat untuk bertanding dapat menghantarnya secara terus.

Kaunter penghantaran borang ini dibuka bermula pukul 8.00 pagi dan akan ditutup pukul 5.00 petang ini iaitu serentak dengan tamatnya masa penghantaran borang pencalonan untuk pemilihan UMNO.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah memutuskan bahawa semua jawatan dalam UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Persidangan tahunan Cawangan dan Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO telah berlangsung lancar bermula Sabtu, 19 Mei 2018 sehingga Ahad, 10 Jun 2018 lalu.

Persidangan bagi pergerakan sayap-sayap di peringkat Bahagian akan dibuat serentak dengan pemilihan sayap yang akan berlangsung serentak pada Sabtu, 23 Jun 2018 manakala bagi persidangan Bahagian dan juga pemilihan akan dibuat pada 30 Jun 2018. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.