Senarai Akhir Calon Layak Untuk Pemilihan UMNO Diumum Esok

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata senarai akhir calon-calon yang layak bertanding bagi semua  jawatan yang dipertandingkan  dalam pemilihan parti 30 Jun ini akan  diumumkan esok oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata kelayakan mereka yang menawarkan  diri akan disemak terlebih dahulu termasuk disaring Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Pemilihan dahulu tidak mencerminkan bahawa UMNO terbuka kerana ada kuota-kuota yang ditetapkan untuk bertanding, tetapi kali ini UMNO terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat waktu menghantar  borang pencalonan di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Mengenai borang pencalonan, jelasnya sebanyak tubuh borang diterima bagi pemilihan jawatan Presiden UMNO selepas waktu serahan borang tamat pada 5 petang ini.

Tambah beliau ia jumlah tertinggi dalam sejarah parti  bagi pemilihan jawatan nombor satu itu.

Tiga pemimpin UMNO telah mengumumkan kesediaan bertanding bagi jawatan Presiden iaitu Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, veteran parti dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin.

Seorang blogger iaitu Rahmat Azim Abdul Aziz dilaporkan turut menghantar pencalonan bagi jawatan tersebut.

Tiga borang pencalonan diterima untuk jawatan Timbalan Presiden manakala sembilan borang pencalonan diterima bagi jawatan Naib Presiden, kata Ab Rauf sambil menambah 121 borang diterima bagi pencalonan untuk merebut jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

Empat borang pencalonan diterima bagi pemilihan jawatan Ketua Wanita, sembilan borang bagi jawatan Ketua Pemuda dan empat bagi jawatan Ketua Puteri.

Secara keseluruhan, katanya,  612 borang pencalonan diterima bagi semua jawatan yang dipertandingkan.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.