Pengumuman Tengku Razaleigh Tanding Presiden Bukti Demokratik UMNO – Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden UMNO adalah bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam UMNO terbuka untuk ditandingi dan ia memperlihatkan juga sesungguhnya UMNO lebih bersikap demokratik.

Jelas beliau, keterbukaan ini harus dipandang positif dan ia tidak harus menjadi penyebab untuk UMNO terbelah dua seperti yang terjadi pada tahun 1987.

“UMNO harus terus diperkukuhkan biarpun kekecundangan telah membaluti prestasi dalam PRU-14 dengan menerapkan semangat bekerja sepasukan.

“Keutamaan untuk menjaga jemaah UMNO lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik.

“Keterbukaan ini juga menunjukkan UMNO kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Zahid, tempoh berkempen juga tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri. Ianya hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah.

“Saya sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kelak menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan UMNO yang kuat.

“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri.

“Maka janganlah kita jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini,” pesan beliau seterusnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.