Ku Li Tawar Diri Bertanding Jawatan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan UMNO 30 Jun ini.

Veteran UMNO berusia 81 tahun itu yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata keputusan tersebut diambil selepas meneliti kedudukan dan situasi UMNO terutama berkaitan soal kepimpinannya.

“Saya membuat keputusan ini demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.

“Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman, saya yakin akan dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi tersebut,” katanya pada sidang media di kediamannya, di sini hari ini.

Di samping itu katanya, beliau akan memastikan UMNO dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang setia dan bertanggungjawab terhadap negara dalam mengorak langkah ke persada dunia sebagai sebuah negara maju.

Tengku Razaleigh berkata UMNO akan terus menjaga dan melindungi budaya serta warisan Melayu di samping menghormati kepelbagaian kaum di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata di bawah kepimpinan beliau, perubahan akan dibuat bagi menyesuaikan parti dalam realiti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia kini telah mencapai tahap kematangan politik yang membanggakan. Kematangan politik ini memerlukan pemimpin matang politik.

“Begitu juga halnya dengan UMNO. Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli UMNO pada 1962, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan. Kepada saya ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawar dirinya bagi tugas kepimpinan,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya memenangi jawatan nombor satu parti, beliau berkata terpulang kepada anggota parti untuk membuat pemilihan, selain menerima banyak sokongan di peringkat bahagian.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.