Puteri Mohon Kelonggaran Ahli Bertanding Sebarang Jawatan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin memohon kepada Ibu Pejabat UMNO Malaysia untuk memberi kelonggaran agar ahli Puteri boleh bertanding mana-mana jawatan kecuali jawatan Ketua Puteri dan juga Naib Ketua Puteri.

Jelas beliau, ini kerana ada ahli Puteri yang berkelayakan tetapi tidak dapat bertanding kerana belum cukup tempoh matang. 

“Dalam kita mahu membina semula parti ini, kelonggaran ini amat penting dan saya memohon agar pihak parti dapat memberikan kelonggaran ini.

“Selain itu, hasil mesyuarat exco tadi juga, kami memohon agar Ibu Pejabat UMNO Malaysia dapat memberi akses untuk melihat berapa ramai yang menghantar borang untuk bertanding sebarang jawatan.

“Selaku Ketua Puteri, saya tidak tahu berapa ramai yang bertanding kerana saya tidak ada akses ini,” ujar beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco terakhir bagi penggal 2013-2018 di Menara Dato’ Onn.

Selain itu, beliau turut mengumumkan akan mempertimbangkan untuk bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti akan datang.

“Mereka mahu saya terus menyumbang kepada proses pemilihan parti maka saya mengambil maklum desakan itu,” ujar beliau.

Mas Ermieyati turut memaklumkan tiga exco Puteri bakal bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi iaitu Datuk Fahariyah Md Nordin, Hazrene Begum Datuk Hussin dan Khaidiriah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.