Dua Puteri UMNO Sabah Tawar Diri Tanding Exco Puteri

KOTA KINABALU, 10 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Sabah mengetengahkan dua calon Exco Puteri UMNO Malaysia pada pemilihan pergerakan sayap 23 Jun ini.

Ketua Puteri UMNO Sabah Normalah Rasik berkata dua calon yang menawarkan diri untuk pemilihan Exco Puteri UMNO itu ialah Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat dan Ketua Puteri UMNO Kota Marudu Sharifah Lydia Sharif Dandan.

“Puteri UMNO Sabah hanya menawarkan dua orang dan pasti kedua-dua calon ini akan memantapkan kekuatan Puteri UMNO Sabah di peringkat pusat,” katanya selepas menghadiri satu majlis berbuka puasa bersama anggota Puteri UMNO Sabah di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, yang akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu, dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang Nasriah Ngasri atau lebih terkenal sebagai Anne, yang juga seorang pelakon dan akan bertanding sebagai anggota exco.

Normalah, yang juga Ketua Puteri UMNO Kudat, turut menyatakan sokongan penuh terhadap Zahida bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia.

“Seorang calon Ketua Puteri mestilah yang sentiasa turun padang dan mudah mendekati anggota parti di peringkat akar umbi.

“Kita memerlukan seorang pemimpin yang mudah didekati dan bukan hanya muncul semasa pemilihan,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas sebagai presiden parti, mengumumkan pemilihan parti peringkat cawangan diadakan 19 Mei hingga 10 Jun, diikuti pemilihan ketua sayap (23 Jun) dan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO (30 Jun).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.