Pemilihan UMNO: Rasional Bukan Emosional, Cari Penawar Yang Mustajab Untuk Parti

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yakin formula penghayatan roh dan semangat perjuangan parti yang sebenar mampu membariskan pemimpin yang terbaik bagi memacu parti ke hadapan.

Justeru, beliau mengharapkan ciri-ciri pemimpin berintegriti, mempunyai rekod kejayaan yang baik serta bebas dari amalan-amalan negatif akan diberi tempat di dalam pemilihan parti.

“Sebab itu dalam pemilihan parti kita ini segala aturan dan peraturan saya harap dapat kita patuhi. Roh dan semangat perjuangan dapat kita junjungi serta mengekalkan solidariti parti, semangat parti, setiakawan parti supaya kita melalui proses ini dalam satu bentuk dan suasana yang baru, yang lebih murni serta yang lebih berkeupayaan untuk membawa parti kita ke hadapan.

“Jadi dalam pemilihan ini para pemimpin yang jujur, yang ikhlas, yang berprestasi, yang mempunyai rekod kejayaan yang baik, yang bebas dari amalan-amalan negatif termasuk amalan politik wang, amalan rasuah dan lain-lain perkara yang harus dijauhi oleh kita sebagai sebuah parti perjuangan, saya harap (mereka ini) akan mendapat tempat daripada kalangan kita,” ujar Annuar dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO-Online baru-baru ini, di sini.

Menyentuh mengenai pemilihan parti itu lagi, ahli Parlimen Ketereh itu berpandangan ia haruslah bebas daripada amalan-amalan yang tidak sihat serta tidak dipengaruhi emosi semata-mata.

“Justeru dalam konteks ini sangatlah penting pemilihan ini tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan kita jika ada pada masa yang lalu. Pemilihan ini harus bebas dari amalan-amalan yang tidak baik, pemilihan ini harus bebas daripada politik wang, politik berkumpulan, politik fraksi, ataupun politik yang kita rasakan tidak membawa kebaikan kepada parti kita.

“Saya harap jangan sekali-kali pemilihan ini kita didorong oleh emosi, atau rasa kecewa kita semata-mata kerana kita tewas atau pun tidak berjaya atau pun tidak begitu berjaya dalam pilihan raya yang baru lalu.

“Kita harus bersandarkan kepada satu pemikiran, akal yang panjang, tidak emosional tetapi bersikap rasional dan oleh kerana kita akan melalui pemilihan yang akan dibuat oleh ahli-ahli kita di peringkat Bahagian, amatlah penting bagi pimpinan nasional dan Bahagian dapat turut bersama-sama menggarapkan suasana berfikiran rasional dalam soal memilih pucuk pimpinan parti dalam pemilihan kita yang akan datang ini,” katanya yang turut mengajak semua ahli bermuhasabah bagi membina dan mencari kekuatan baru buat parti.

Dalam perkembangan yang berkaitan juga, Annuar menyeru kepada semua ahli agar jangan merasa ‘kecil’ dan ‘berduka’ disebabkan ‘luka’ yang dialami dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sebaliknya jadikan pemilihan parti sebagai penawar yang mustajab.

“Pemilihan ini harus membawa sifat ke arah kita membawa segala penawar yang diperlukan, kita dapat mencari ubat yang mustajab…dapat membentuk semula hala tuju kita dengan cara yang lebih fokus, tersusun, semangat juang yang jitu serta bergerak sebagai sebuah parti yang terus dihormati.

“Kalau kita dalam pemilihan ini berlaku perkara-perkara yang sedang ditonton oleh rakyat dan masyarakat dan masih lagi berlaku perkara-perkara yang menjadikan kita tidak dihormati ataupun dipandang sinis oleh masyarakat terbanyak termasuk yang bukan menjadi ahli kita, maka parti kita yang sepatutnya kita bina semula akan terus terjejas dan itu akan menjadikan bebanan pemulihan dan ‘renaissance’ UMNO yang hendak kita lakukan akan menjadi lebih sukar bagi mereka yang terpilih,” tegasnya.

Bermula pada 1 Jun hingga jam 5 petang 17 Jun 2018 kelak, ahli-ahli UMNO yang berkelayakan dialu-alukan menawarkan diri bagi memenuhi apa juga jawatan yang dipertandingkan, baik di peringkat Bahagian hinggalah ke peringkat pusat dan uniknya pemimpin di akar umbi diberi peluang memilih pucuk pimpinan teratas, jelas Annuar.

“Ini adalah satu kesempatan yang disediakan dalam kerangka demokrasi parti kita di mana proses pemilihan pucuk pimpinan itu diberikan kepada ahli-ahli UMNO di akar umbi terutamanya.

“Kita adalah satu-satunya parti yang mana barisan saf pimpinan dipilih secara ramai oleh pemimpin-pemimpin di akar umbi,” katanya lagi.

Annuar turut yakin ibu pejabat akan bersikap neutral dan bertindak sebagai ‘caretaker’ kepada parti, yang bertanggungjawab memastikan proses pemilihan berjalan dengan baik dan mengikut segala aturan serta peraturan yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan juga perlembagaan parti.

“Kita ingin mengucapkan selamat bersidang kepada semua Cawangan, Bahagian dan mendoakan agar proses pemilihan dalam parti pada kali ini akan menampilkan saf kepimpinan yang akan dapat mengangkat dan menjunjung perjuangan parti kembali ke satu persada, yang menjadikan parti dipercayai dan diyakini oleh rakyat di negara kita secara amnya dan umat Melayu dan umat Islam secara khususnya.

“Mudah-mudahan kata-kata hikmat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat akan terus kita junjung bersama,” akhiri beliau.

Sebagai rekod, mesyuarat Cawangan telah bermula pada 19 Mei lalu dan akan berakhir pada 10 Jun ini.

Persidangan sayap-sayap pergerakan Bahagian pada 23 Jun manakala minggu berikutnya pada 30 Jun diadakan persidangan perwakilan Bahagian. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.