Kerajaan PH Batal Projek Bermanfaat Untuk Rakyat, Menghukum Atau Balas Dendam?

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memberhentikan pelbagai inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti dalam kajian ianya memberi manfaat besar kepada rakyat.

Menurut Najib, beliau tidak kisah jika kerajaan PH mahu memadamkan segala legasi sepanjang sembilan tahun beliau mentadbir negara hinggakan terdapat laporan yang menyebut perpustakaan kerajaan diarahkan tidak meletakkan buku yang ada menyebut tentang beliau, tetapi apa yang memberi kesan kepadanya adalah tindakan PH lebih kepada persepsi semata-mata dan tanpa mengambil kira pandangan rakyat.

“Dalam tempoh dua minggu, kerajaan PH sudah membatalkan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur Singapura (HSR) dan MRT3 di sebalik kajian yang dilakukan mengambil masa bertahun-tahun yang menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya.

“Projek MRT3 juga diperlukan bagi memperlengkapkan jaringan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang dan tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan peningkatan masalah kesesakan jalan raya.

“Satu lagi projek yang mahu dibatalkan oleh perdana menteri dua hari lalu ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sangat diperlukan bagi pembangunan jajaran Pantai Timur Malaysia. Biarpun Fasa 1 projek ini bagi Gombak hingga Kota Bahru sudah melepasi status 20 peratus siap dan pembatalannya akan menyebabkan kos RM22 bilion, kerajaan PH tetap mahu membatalkannya atau menangguhkan projek ini,” ujar Najib dalam catatan terbaharunya di facebooknya di sini hari ini.

Najib turut menyangkal dakwaan kerajaan PH yang mengatakan pembayaran pembinaan bagi projek ECRL bersandarkan kepada tempoh masa tetapi sebenarnya ia mengikut tahap pencapaian pembinaan.

“Bagaimanapun, itu tidak menghentikan PH menggunakan maklumat tidak betul itu sebagai alasan untuk membatalkan projek bermanfaat kepada rakyat ini.

“Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan Pakatan.

“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang sebagaimana dilakukan Mahathir ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembentungan?, soalnya lagi.

Ini jelas berbeza ketika beliau menjadi perdana menteri, telah memastikan kesemua negeri tidak kira negeri di bawah pembangkang sekalipun akan menerima pembangunan infrastruktur asas untuk manfaat rakyat, ujarnya.

“Sebab itu, kerajaan persekutuan pada ketika pentadbiran saya telah menyalurkan berpuluh bilion Ringgit (Malaysia) bagi membantu penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

“Berikutan Kelantan agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain, saya juga telah memastikan Kelantan menerima lebih banyak dana pembangunan bagi manfaat rakyat dan projek menaiktaraf lebuhraya, bekalan air dan infrastruktur pembentungan. Lebuhraya CSR (Central Spine Road) yang tidak dikenakan tol di mana sebahagian besarnya sudah dibuka kepada pengguna adalah salah satu contoh,” katanya.

Justeru tambahnya, adalah menjadi hak kepada PH yang telah menjadi kerajaan untuk memadamkan legasinya atau menghukum negeri pembangkang dengan membatalkan projek bermanfaat untuk rakyat.

“Namun saya menggesa kerajaan hari ini, jika mahu membuat pembatalan projek bermanfaat kepada rakyat ini, ia perlu dilakukan melalui cara yang telus dan penelitian yang terperinci dengan mendapatkan pendapat rakyat.

“Sekali lagi, saya menggesa kerajaan PH untuk mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi kesemua projek manfaat rakyat ini untuk diakses rakyat.

“Kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan pada kenyataan mengenai hutang negara yang tidak tepat, tetapi mereka juga perlu mengambil kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta manfaat buat rakyat yang akan disumbang projek ini untuk negara,” tegasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata terdapat juga projek-projek manfaat rakyat telah berjaya disiapkan dan juga ‘tidak diganggu-gugat oleh kerajaan’ kerana dalam proses pembinaan akhir seperti sambungan LRT1 dan LRT2, KLIA2, jambatan kedua Pulau Pinang, MRT1 & MRT2, puluhan UTC, RTC, Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya CSR dan juga bangunan Exchange 106 di Tun Razak Exchange.

“Jika tidak, kerajaan Pakatan mungkin akan turut membatalkan projek-projek rakyat ini,” katanya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.