Sudan Puji Kematangan UMNO Berpolitik, Yakin Kembali Bangkit

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kelancaran peralihan kuasa yang berlaku selepas Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanpa sebarang pertelingkahan atau kekecohan menunjukkan kematangan parti ini berpolitik.

Demikian ulas Ahli Parlimen Sudan dari Parti Kongres Nasional yang juga Pengerusi Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa Sudan, Dr Muhamed ElMukhtar Hassan Hussein.

“Walaupun UMNO telah lebih 60 tahun menjadi kerajaan bersama BN tetapi dapat menerima peralihan kuasa dengan tenang dan lancar selepas kalah dalam PRU14 yang mana ia menunjukkan kesan sangat positif dan kematangan para pemimpinnya dalam menerima keputusan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di pejabatnya, hari ini.

“Saya berharap para pemimpin UMNO tidak akan patah semangat dan akan terus dapat menjalankan khidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN menjelaskan bahawa UMNO menerima suara rakyat yang dibuat menerusi pilihan raya dan ahli-ahli Parlimen BN/UMNO akan melaksanakan tugas sebagai pembangkang.

“Kita akui bahawa BN/UMNO tidak ada pengalaman sebagai pembangkang kerana kita berkerajaan sejak merdeka hinggalah tewas dalam PRU ke-14 ini, dan ini adalah pengajaran yang sangat berharga buat kami,” katanya.

Dalam PRU ke-14 lalu, UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.