Ismail Sabri Tanding Jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Badan Perhubungan UMNO Pahang mengumumkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Yaakob sebagai calon merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata mereka juga mencalonkan penyandang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, lantikan presiden, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin untuk bertanding bagi jawatan Ahli MT.

Selain itu, Adnan, yang bekas menteri besar. turut mengumumkan Anggota Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Anggota Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamed dan Anggota Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib akan bertanding bagi jawatan Ahli MT.

“Calon-calon yang bertanding ini adalah untuk membantu parti dalam keadaan parti sekarang ini sebagai pembangkang di peringkat persekutuan. Masing-masing ada hasrat yang suci untuk membantu parti kerana mereka tahu kalau mereka menang pun bukan dapat jadi menteri,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pemilihan UMNO semalam.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, Adnan berkata beliau an Wan Rosdy tidak akan bertanding bagi mana-mana jawatan pada pemilihan itu.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Pahang, yang juga Anggota Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO.

Mohd Shahar turut mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit akan bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO.