Saya Akan Umum Dalam Masa Terdekat Mahu Bertanding Atau Tidak – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, beliau masih memikirkan sama ada mahu bertanding atau tidak dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini.

Jelasnya, walau apa pun keputusan yang bakal diambil, beliau tidak akan lari dari apa yang telah diamanahkan untuk membantu parti keramat ini.

“Untuk diri saya sendiri, saya akan buat keputusan dan percayalah saya tidak akan lari dari apa yang telah diamanahkan cuma cara bagaimana saya mahu menyumbang kepada usaha yang kita hendak lakukan, kena fikir sebaik mungkin dan saya akan umum dalam masa terdekat.

“Tapi saya berasa bangga kerana dalam keadaan sekarang ini, masih ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan ini membuktikan bahawa ramai yang melihat UMNO adalah satu wadah yang masih relevan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Hishamuddin, apapun keputusan yang bakal diambil oleh dirinya kelak, ianya adalah untuk kebaikan parti maka ia perlu difikirkan sedalam-dalamnya.

Bagi pendaftaran pencalonan, terdapat tiga kaedah yang boleh digunapakai iaitu :

1. Pendaftaran secara online bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad).
2. Bagi mana-mana pendaftaran online yang tidak berjaya boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian.
3. Selain kaedah online, borang pendaftaran juga boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun 2018 (Ahad) bermula 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Ibu pejabat UMNO akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.