Najib Alu-Alukan Sebarang Siasatan Namun Ingatkan Guan Eng Hati-hati Buat Tuduhan Bermotif Politik


KUALA LUMPUR, 6 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap projek saluran paip gas bersama syarikat milik negara China yang didakwa terdapat unsur penyelewengan di dalam projek tersebut oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Menurut Najib, siasatan secara terbuka dan telus ini akan membuktikan dakwaan Menteri Kewangan itu sama ada benar terdapatnya sebarang unsur penyelewengan atau pun tidak.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini.

“Namun kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” jelasnya melalui kenyataan yang dimuat naik di laman facebook rasmi beliau.

Kata Najib lagi, Perdana Menteri China, Li Keqiang juga menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kesefahaman (MoU) bagi projek saluran gas ini bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei, 2017.

“Berdasarkan kepada ingatan saya, saya yakin, semua prosedur  dan proses perundangan telah dipatuni berkaitan dengan rundingan dan perlaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

“Saya turut dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain.

“CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China – China National Petroleum Corporation,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China.

“Pada majlis yang sama, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai US$2 trilion bagi tempoh lima tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga US$150 bilion di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita,” tegasnya.

Justeru, kata beliau kerajaan lebih perlu lebih berhati-hati dalam membuat sebarang dakwaan yang bermotifkan politik melibatkan syarikat milik sebuah negara asing, di mana ia mungkin boleh mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia hari ini dan pada masa yang akan datang.-MediaUMNO