Shahrizat Umum Tidak Bertanding Jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia

 

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan tidak akan menawarkan diri sebagai ketua pergerakan tersebut untuk pemilihan parti yang akan datang.

Jelas beliau, keputusan itu diambil kerana dirinya memandang serius suara lantang daripada rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam UMNO. 

“Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diketuai oleh seorang ketua yang baru dan mampu membawa cara dan juga idea baru yang mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO tetapi juga mendapat sokongan rakyat.

“Wanita mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga. Saya penuh yakin, sekiranya mereka ini diberi peluang untuk memimpin Wanita UMNO, mereka akan dapat menjalankan tugas dengan baik terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujar beliau dalam satu sidang media khas bersama UMNO-Online.

Justeru, beliau menyeru kepada semua ahli Wanita UMNO terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Kata Shahrizat, seorang pemimpin sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktiskan kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

“Sebagai Ibu Terbaik Bangsa, walau di mana juga kita berada, Wanita UMNO mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat berbilang kaum.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah.

“Terima kasih atas peluang, kepercayaan dan kesetiaan lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO kepada kepimpinan saya selama ini. Saya amat menghargainya. Sokongan dan perpaduan ahli Wanita UMNO lah yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diamanahkan selama ini,” ulas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.