Kerajaan PH Diminta Hentikan Politik Balas Dendam, Layan Secara Adil Kepada Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta untuk menghentikan amalan politik balas dendam bagi memastikan negara ini kekal bersatu, terus maju dan demokratik.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO turut mendesak agar kerajaan PH menghormati hak-hak dan melayani perkhidmatan awam secara adil.

“Semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), kita tahu ramai penjawat awam yang menjadi penyokong pembangkang. Mereka termasuklah warga angkatan tentera.

“Bagaimanapun, BN tidak memaksa mereka untuk menyokong parti pemerintah atau tidak menjadikan mereka mangsa kerana pendirian politik mereka kerana perlembagaan BN membolehkan rakyat – sama ada dalam perkhidmatan awam atau tidak – mempunyai kebebasan bersekutu dan hak mereka untuk menyokong siapa yang mereka mahukan . Itulah asas demokrasi.

“Kami hanya meminta mereka untuk berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan dan tidak membiarkan politik mengganggu kerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO memandang serius kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu bahawa kesetiaan sesetengah anggota perkhidmatan awam diragui kerana sesetengahnya menyokong BN secara serius.

Kemudiannya disusuli kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun hari ini bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses mengesan dan mengenal pasti kakitangan awam yang berkempen untuk BN dalam PRU14 sebagai persediaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami bimbang bahawa ini boleh dianggap sebagai ancaman dan penindasan terhadap perkhidmatan awam dalam cubaan untuk melucutkan hak-hak Perlembagaan dan demokratik penjawat awam untuk kebebasan berpihak dan kebebasan siapa yang mereka mahu sokong,” tegasnya lagi – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.