Junjung Kasih YDP Agong, Bijaksana Dan Tegas Berdasarkan Undang-undang, Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjunjung kasih dan bersyukur di atas ketegasan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong melaksanakan amanah berdasarkan perlembagaan dan kebertanggungjawaban memelihara hak orang Melayu dan melindungi agama Islam.

Tegasnya, sebelum ini beliau turut merasa dukacita dan bimbang terhadap beberapa laporan termasuk penulisan pihak tertentu baik di media konvensional mahu pun media baru yang boleh disifatkan sebagai percubaan menghina institusi Raja, dan dalam kes tertentu berbaur ugutan dan keangkuhan yang tidak bertempat.

“Rakyat jelata yang tidak terlalu taksub dengan puak, kaum atau agama amat memahami bahawa Tuanku telah menunaikan tanggungjawab dengan memberikan reaksi dan timbal balas menurut perlembagaan dan tidak semata-mata menjadi ‘rubber stamp’ atas sesuatu nasihat yang dipersembahkan oleh kerajaan.

“Pada masa yang sama,Tuanku tidak pula membelakangkan pandangan Majlis Raja-Raja dan peruntukan undang-undang dan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh, kebijaksanaan seperti ini amatlah penting bagi kelangsungan sistem Raja Perlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Patik juga merasakan pendekatan berhemah dan bijaksana yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil inisiatif mengadap DYMM Tuanku dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu adalah amat sesuai dengan tatasusila bangsa,walaupun tindakan beliau disindir dan disangsikan sesetengah pihak.”

Katanya, sekali lagi dinyatakan bahawa negara memerlukan hemah dan kebijaksanaan, dan bukannya keangkuhan dengan pengaruh dan kekuasaan.

“Semoga limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ini membolehkan kerajaan, terutamanya YAB Perdana Menteri, segera menyempurnakan amanah rakyat dalam menguruskan pentadbiran negara.

“Sebagai Ahli Parlimen pembangkang, patik dan rakan- rakan akan mengambil teladan ini, dan insya-Allah akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, yakni sebagai pembangkang yang membina dan berintegriti tinggi selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

“Patik mendoakan kemuliaan, kesejahteraan dan keberkatan Allah swt ke hadapan Tuanku dan Duli- Duli Raja-Raja Melayu. – MediaUMNO