Guan Eng Perlu Berhenti Beri Kenyataan Yang Memalukan Diri Sendiri – ABATA


KUALA LUMPUR, 5 Jun – Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu berhenti memberi kenyataan yang jelas memalukan diri sendiri kerana selaku kerajaan terkini, beliau perlu belajar memberi kenyataan dalam bentuk fakta dan bukannya auta.

Jelas beliau, Guan Eng tidak sepatutnya terburu-buru dalam membuat kesimpulan kerana rakyat Malaysia kini sudah ramai yang ‘educated’.

“Sebagai Menteri Kewangan, sudah pasti Guan Eng mempunyai akses kepada semua data terkini maka dia seharusnya memberi fakta dan bukannya kenyataan yang tidak berisi.

“Dalam satu temubual dengan RTM pada 3 Jun lalu, Guan Eng menyatakan ‘semasa kempen, pihak lawan (BN) menyatakan negara ini akan bankrup tanpa GST. Kita telah buktikan mereka salah. Pada 1 Jun tiada lagi GST dan kita tidak bankrup’.

“Ulasan Menteri Kewangan ini dibuat hanya dua hari selepas GST disifarkan menjadi 0 peratus. Takkanlah dalam masa dua hari sahaja impak GST yang 0 peratus itu sudah boleh diukur? Tentunya tidak tepat sama sekali,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tegas Azrinizam, Guan Eng tidak seharusnya memberi jawapan sedemikian kerana Bank Dunia, IMF dan badan penarafan antarabangsa lain, mengiktiraf kedudukan kewangan Malaysia pada tahun lepas dan menaikkan unjuran KDNK Malaysia sebanyak tiga kali menilai kedudukan kewangan negara berdasarkan suku tahun bukan dalam masa dua hari sahaja.

“Kesan GST 0 peratus mungkin dapat dinilai semasa pembentangan Bajet 2019 nanti. Pada masa itu, (kebiasaannya Oktober) rakyat tentunya mahu melihat apakah sumber hasil yang berjaya dijana oleh kerajaan Pakatan Harapan selain GST.

“Rakyat Malaysia baru-baru ini turut dikelirukan oleh data hutang negara yang jumlahnya dikira tidak mengikut piawaian antarabangsa. Kali ini rakyat Malaysia terkejut lagi dengan cara pengiraan kesan GST 0 peratus oleh Menteri Kewangan.

“Bukan sahaja rakyat tetapi pelabur, institusi kewangan antarabangsa juga memerhatikan dengan dekat cara Menteri Kewangan mentadbir negara ini. Daripada kedudukan KDKNK 5.4 peratus dan antara yang tertinggi di dunia pada tahun lepas, tahun ini bagaimana pula kedudukan itu? Maka lebih baik Guan Eng berhati-hati dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ulas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.