Ahli Parti Mainkan Peranan Perkukuhkan Kembali UMNO


KUALA LUMPUR,  5 Jun – Ketua UMNO Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman yakin dan percaya ahli parti di akar umbi dan pelbagai peringkat lain memainkan peranan penting dalam menjadikan UMNO tidak terus dibuai mimpi kekalahan pada Pilihan raya Umum (PRU-14) yang lalu.

Katanya soal kalah dan menang adalah adat bertanding namun apa yang penting pada hari ini adalah UMNO terus diperkasakan dan diberi kekuatan baru untuk bangkit dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya tersendiri.

“Ini adalah ujian untuk kita semua… dan pengajaran yang kita lalui ini insya-Allah pada masa akan datang akan memberi kelebihan kepada kita dan hari ini kita tidak mahu berpolitik.

“Cumanya kita mahu menjaga parti kita dan menyerahkan kepada rakyat menjadi hakim iaitu mereka menjadi penilai setiap saat dan setiap ketika kerana kita pun jatuh hasil kehakiman yang dibuat oleh rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Zawawi seterusnya menegaskan buat masa sekarang ini cukup-cukuplah mana-mana pihak saling menuding jari sebaliknya sama-sama beriltizam dan sama-sama berusaha untuk membantu parti ke arah yang lebih baik.

“Apatah lagi dengan mesyuarat di peringkat cawangan yang sedang berlangsung dan seterusnya di peringkat bahagian serta kepimpinan tertinggi. Ini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memperkuatkan parti.

“Kita perkukuhkan struktur parti kita dan semangat perjuangan kita untuk agama, bangsa dan tanah air. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.