Tidak Ada Sesiapun Boleh Nafikan Jasa UMNO Dan BN Membangunkan Negara – Tajuddin


KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sumbangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada negara selama ini tidak boleh dinafikan.

Jelas beliau, apa pun hakikatnya, UMNO dan BNlah yang telah membawa Malaysia kepada kemajuan dan keluar daripada kepompong negara mundur.

“UMNO adalah sebuah parti yang telah melalui jangka waktu begitu lama, 70 tahun dan sumbangan UMNO kepada negara dan rakyat tidak boleh dnafikan. Negara dan rakyat Malaysia yang dahulunya dianggap negara mundur, negara ‘3rd world’ kini merupakan sebuah negara maju dan ia hasil daripada perjuangan UMNO dan kerajaan BN yang diterajui UMNO.

“Saya amat kesal, dalam PRU-14 yang lalu, kita (UMNO) dicemuh seolah-olah tidak ada jasa kepada negara dan rakyat negara ini. Padahal di depan mata dapat dilihat bukti yang nyata sumbangan UMNO.

“Saya kesal bila kekalahan UMNO dan BN bukan disebabkan kita tidak kuat tetapi disebabkan permainan politik yang berlaku masa itu dan ia berterusan hingga kini,” ujar beliau dalam satu sidang media di PWTC, semalam.

Kata beliau, UMNO tewas apabila pemimpin UMNO sendiri yang membuka pintu kepada musuh politik seperti Dap.

“Memang Dap dari dulu berusaha menjatuhkan UMNO dan BN, itu tidak hairan tapi yang kesalnya adalah pemimpin UMNO yang keluar parti dan bersubahat dengan pembangkang untuk jatuhkan UMNO. Mereka ini dulu menjadi pemimpin hasil sokongan dari UMNO bukan dari Dap atau parti lain dalam kumpulan itu. UMNO yang naikkan mereka.

“Contoh Tun Dr Mahathir dan yang lain, marahkan satu dua individu dalam UMNO sanggup jatuhkan UMNO. Kita punya amalan dalam UMNO iaitu selesaikan dalam parti… bawa dalam pertandingan semasa pemilihan, tidak perlu keluar dan bakar rumah kita. Musuh memang tunggu UMNO untuk dihancurkan,” tegas beliau.

Menurut Tajuddin, UMNO tidak mungkin kalah dan orang Melayu tidak boleh djatuhkan jika tidak kerana pemimpin UMNO yang bersubahat dengan musuh.

“Apa yang terjadi ini mengingatkan kita kepada kejatuhan Melaka kepada Portugis. Ini juga mengingatkan tentang sejarah Kesultanan Melayu di beberapa buah negeri apabila pihak Inggeris berjaya memecah-belahkan kerabat di-Raja yang berebut kuasa, maka mereka menjajah negara kita selama lebih 40 tahun.

“Sekarang pemimpin UMNO bersubahat dengan musuh dan kita dikalahkan, sekarang sudah nampak hasil daripada ini… apa akan jadi kepada orang Melayu dan Islam.

“Sudah ada tuntutan Jakim bubarkan, solat Jumaat tidak perlu diadakan, dan macam-macam lagi… apa tujuan ini? Ini adalah untuk menjatuhkan orang Melayu dan Islam. Mereka mahu jadikan negara ini negara sekular,” bidas Tajuddin lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.