Pencalonan Untuk Peguam Negara Mesti Berkredibiliti, Ikut Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) memandang berat tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan pengamal undang-undang Tommy Thomas, sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ketuanya, Aminuddin Yahaya melihat pelantikan tersebut menimbulkan keraguan berkenaan konflik kepentingan kerana Tommy Thomas adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bagi prosiding komital dalam pertuduhan rasuah terhadap Lim.

“Ini akan menimbulkan keraguan berkenaan konflik kepentingan sama ada Tommy Thomas akan dapat berlaku adil jika dilantik sebagai Peguam Negara, bagi meneruskan pertuduhan terhadap Lim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, UMMAH berdiri teguh di belakang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, atas kebijaksanaan dan ketegasan baginda-baginda sekalian, dalam menolak Tommy Thomas daripada dilantik bagi menjawat jawatan Peguam Negara.

“Justeru, selagi mana YDPA masih belum memperkenankan penamatan jawatan Apandi Ali sebagai Peguam Negara, maka Kerajaan PH tiada hak dan tiada berbidangkuasa mencadangkan sebarang nama untuk dipertimbangkan, kerana jawatan tersebut belum pun kosong

“Bahkan tindakan Kerajaan PH berkeras untuk menamakan Tommy Thomas adalah langkah yang bercanggah Perlembagaan.

“Dalam apa keadaan sekalipun, jikapun YDPA kelak memperkenankan penamatan Apandi Ali daripada memegang jawatan Peguam Negara, suka untuk UMMAH mencadangkan bahawa adalah lebih molek sekiranya calon Peguam Negara dipertimbangkan dari kalangan mereka yang sudah sememangnya berada dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman kerajaan (bagi mengelak sebarang konflik kepentingan).”

Jelas beliau, perlu juga diingatkan bahawa Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang Peguam Negara itu memegang jawatannya
‘selama diperkenankan oleh YDPA’.

“Jawatan Peguam Negara ialah jawatan penting yang diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, dan mempunyai peranan, antara lainnya, untuk menasihati YDPA dan Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.

“Justeru, sudah barang tentu seseorang Peguam Negara itu perlu mempunyai kredibiliti dan kecermatan dalam menangani sesuatu teks perundangan.

“Sungguhpun Ummah tidak mempertikaikan kebolehan Tommy Thomas sebagai pengamal undang-undang kanan yang mempunyai pengalaman selama lebih 40 tahun, tetapi malangnya UMMAH meragui kredibiliti dan kecermatan beliau.”

Hal ini kerana katanya, dalam satu kertas karangan beliau yang dibentangkan dalam Konferens Perundangan Malaysia pada tahun 2005 bertajuk “Is Malaysia a Secular State?”, beliau telah didapati menyalah-petik perenggan 169 teks laporan Suruhanjaya Reid, semata-mata bagi menegaskan kononnya Malaysia ialah sebuah negara sekular.

“Walaupun UMMAH menghormati perbezaan pandangan dan hak mana-mana individu untuk memberikan pendapat secara akademik — sama ada Malaysia bertaraf sekular ataupun tidak — tetapi pandangan tersebut perlu disandarkan kepada hujah yang tepat, dan bukan menyalah-petik sesuatu teks, semata-mata bagi menyokong sesuatu pendapat dan bagi mengelirukan khalayak awam.

“Dalam hal ini, Tommy Thomas didapati telah menggugurkan 10 perkataan dalam laporan Suruhanjaya Reid (sama ada secara khilaf, ataupun disengajakan), bagi menunjukkan seolah-oleh Suruhanjaya tersebut menyarankan bahawa Malaysia didirikan sebagai negara yang sekular.”

Jelasnya, sungguhpun hal ini telah dibidas oleh peguam Aidil Khalid dalam tulisan bertajuk ‘Wither the Myth of a Secular Nation’, tetapi dalam bukunya yang terbit pada tahun 2016, ‘Anything but the Law’, Tommy Thomas memilih untuk tetap menyalah-petik Laporan Suruhanjaya Reid tersebut, tanpa membetulkannya.

“Kelakuan sebegini adalah kelakuan yang tidak bertanggungjawab dan sudah tentu bukan keperibadian yang dicari bagi seseorang yang hendak dilantik menjawat jawatan Peguam Negara.”

UMMAH adalah gabungan lebih daripada 300 pertubuhan-bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia dan melangkaui sebarang kepentingan politik kepartian. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.