Pemilihan UMNO Umpama Pertandingan Dalam Keluarga Untuk Perkukuh Permuafakatan – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan percaya pemilihan untuk pelbagai jawatan yang dipertandingkan pada kali ini di dalam parti umpama pertandingan di dalam sebuah keluarga.

Justeru katanya adalah penting agar saf perpaduan dan permuafakatan yang padu dapat ditingkatkan dan bukannya boleh menjejaskan lagi perpaduan di dalam UMNO agar parti terus bangkit dalam masa terdekat.

“Apabila berlaku pertandingan di peringkat cawangan dan sebagainya sehinggalah keperingkat atas, apa yang penting sebenarnya kita merapatkan kembali saf kita. Segala pertandingan disifatkan pertandingan dalam sebuah keluarga.

“Ini yang penting dan kita jangan bakar jambatan sehingga tidak bertegur sapa dan sebagainya. Ini bukan kaedah di dalam UMNO. Pemilihan di dalam UMNO adalah pemilihan di dalam keluarga dan selepas itu kita berbaik semula dan bertegur sapa dan sama-sama menggerakkan kembali UMNO ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan yang juga Pengerusi Biro IT UMNO berkata segala janji dan manifesto kerajaan pakatan harapan hari ini akan terus dipantau untuk kepentingan bersama.

“Insya-Allah kita akan teliti segala janji dan manifesto mereka kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan peranan media sosial akan terus dipertingkatkan dalam usaha menyalurkan maklumat yang sebenarnya.

“Hari ini kita tidak ada medium lain dan oleh itu peranan media sosial akan menjadi penting dan berlipat kali ganda dalam keadaan kita sebagai pembangkang. Harapan kita tegapkan semangat dan teruskan berjuang untuk kepentingan rakyat,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.