Pelantikan Tommy Thomas Bercanggah Manifesto PH, Tidak Selari Dengan Perlembagaan Persekutuan


KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, belum sampai 40 hari kerajaan Pakatan Harapan di tampuk kekuasaan negara sudah timbul pelbagai cadangan yang menyentuh pelbagai perkara dasar terutama yang perkara asas yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, cadangan untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara ternyata bercanggah dengan 15 janji PH dalam manifesto mereka antaranya berhubung pelantikan peguam negara.

“Menurut manifesto PH, Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

“Cadangan pelantikan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan manifesto mereka sendiri bahkan tidak selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan tidak selari dengan Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong yang berbunyi “Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam”.

“Ini kerana Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.”

“Melantik seorang yang bukan Islam untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sudah tentulah satu langkah yang tidak betul kerana seorang yang bukan Islam sudah tentulah tidak akan dapat membantu Yang di-Pertuan Agong “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Islam ialah agama bagi Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Selain daripada itu, pelantikan Tommy Thomas ini juga dibantah memandangkan pendirian beliau selama ini yang banyak mengkritik institusi Raja-Raja Melayu dan berpandangan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam.

Ini dapat dilihat daripada pandangan Tommy di dalam buku-bukunya bertajuk “Anything But The Law” dan “Abuse Of Power” pada 2016 yang mana beliau berhujah mengenai betapa Malaysia adalah bukan negara Islam serta betapa keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang akur kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah, bila timbul pertikaian membabitkan konflik antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah adalah keputusan yang salah.

“Begitu juga dalam sebuah buku tulisannya yang bertajuk “Abuse Of Power” pada 2016, beliau mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik dengan menyebut: “In an appeal where the central issue is a clash between Islam and Christianity, the judges ought to have been Hindus, Buddhists, atheists or agnostics. Alternatively, there should have been a delicate balance between judges of the Muslim, Christian and other faiths.”

“Tommy di dalam bukunya bertajuk “Anything But The Law” pada 2016 juga banyak menulis mengenai isu-isu yang sensitif termasuklah, di dalam mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di Sitiawan, menyebut Chin Peng sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieh century” dan “a major contributor to Merdeka” serta menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara tidak mempunyai asas perlembagaan dan perundangan.

“Jadi bagaimana Tommy, seorang bukan Islam, boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang Islam dengan betul dan tidak berkepentingan sedangkan banyak pandangannya mengenai undang-undang Islam yang tercatat di dalam buku-bukunya sebelum ini yang bersifat kritikal dan lebih banyak dipengaruhi oleh pegangan agama beliau sendiri?,” soal Annuar.

Annuar juga berpandangan bahawa cadangan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara bukan datangnya dari Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebaliknya datang daripada desakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.

“Ini kerana Tun Dr Mahathir diketahui umum sukar untuk memaafkan pihak yang mengkritik beliau, dan Tommy pula diketahui umum merupakan salah seorang pengkritik tegar Tun Dr Mahathir, di mana di dalam bukunya bertajuk “Abuse Of Power” pada 2016 contohnya, Tommy menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai “a very authoritarian leader who did not brook dissent”.

“Begitu juga di dalam The International Bar Association (IBA)’s 3rd Asia Pacific Regional Forum Conference di Kuala Lumpur pada 25–27 November 2012, di mana Tommy berucap keras menyelar Tun Dr Mahathir dengan berkata: “The darkest days were in the authoritarian leadership of our 4th Prime Minister, Dr Mahathir who ruled for 22 years from 1981 to 2003,” tegas Annuar.

Sebab itulah kata beliau, apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak memperkenankan hasrat Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara maka ia adalah satu tindakan yang amat tepat dan perlu dihormati selaras dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlantikan Peguam Negara adalah jelas dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti kenyataan Lim Kit Siang pada 17 Mac 2018 bahawa “kita (Pakatan Harapan) akan melantik seorang Peguam Negara dan ketua-ketua institusi-institusi negara…” (“we will appoint an Attorney-General and heads of national institutions…”) tanpa sebarang rujukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Lebih asas lagi adalah, mengikut Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi atas merit Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara (Perkara 32), Ketua Eksekutif (Perkara 39) dan sebagai Ketua Agama Islam, di mana sudah tentu ada justifikasi kukuh kenapa orang Islam perlu diberikan keutamaan memegang jawatan ini.

“Adalah menjadi kewajipan Pakatan Harapan untuk akur dengan tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ini selaras dengan Janji 11 di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang berbunyi “Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita,” akhirinya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.