Kerajaan Perlu Kaji Projek HSR Dengan Teliti – Najib

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerajaan Pakatan Harapan menjalankan kajian dan memberi penerangan komprehensif kepada rakyat berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Beliau berkata Barisan Nasional telah membuat kajian bertahun-tahun dan mendapati kadar Keluaran Dalam Negara Kasar projek HSR adalah RM209 bilion berbanding kosnya RM70 bilion.

Katanya sumber pendapatan projek pemangkin ekonomi HSR menjangkau jualan tiket, yang melibatkan peningkatan nilai hartanah, kewujudan 442,000 peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kepesatan ekonomi setempat dan pelancongan

Najib turut melahirkan rasa terkejut apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia tidak mendapat sebarang keuntungan daripada projek HSR dan akan membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

“Beliau bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci, dan memberikan penerangan yang komprehensif kepada rakyat dan pelabur tentang analisis kos dan manfaat projek ini secara keseluruhan,” katanya dalam video ucapan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Najib berkata Pakatan Harapan tidak boleh mengambil ringan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka untuk mentadbir negara ini dengan memberi justifikasi sambil lewa terhadap semua keputusan yang diambil.

“Rakyat bijak menilai,” katanya.

Pada 28 Mei, Dr Mahathir mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek HSR dan kemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.
Projek HSR, dirancang membabitkan jarak 335 kilometer dan meliputi empat negeri, akan menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Projek itu dijadual siap pada 2026.