UMNO Tidak Memijak Kawan Apabila Terjatuh, Annuar Bidas MCA

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa membidas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang dilaporkan berkata era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah tamat.

Tegas beliau, sebenarnya era UMNO menanggung dan mengendong MCA yang sudah lama lumpuh juga sudah lama tamat.

“Apakah MCA lupa sejak PRU-13, MCA telah di serang ‘angin ahmar’ dan hilang upaya? Tapi kita tetap mengendong MCA.

“Mereka diberi tempat yang empuk dalam kerajaan dengan harapan mereka pulih. Apa yang terjadi? Bukan saja MCA tidak pulih, malah mereka hilang upaya sama sekali.

“MCA bukan saja gagal dengan rakyat, malah gagal menawan hati ahli mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, hingga ke saat akhir di mana jentera parti di susun rapi, tapi MCA masih gagal mengenal pasti penyokong dan jentera.

“Mereka hanya minta dipapah dan dikendong!

“UMNO tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kegagalan rakan parti komponen ‘out of respect and decorum’, tapi kenyataan Timbalan Presiden MCA itu adalah memijak kawan apabila terjatuh.”

Jelas beliau, beberapa hari sebelum PRU -14, MCA memberi laporan kononnya pengundi Cina menunjukkan peningkatan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) iaitu 25 peratus hingga 35 peratus menyokong BN.

“Apa realitinya? Hanya 2 peratus lebih sahaja pengundi Cina telah memilih BN dan ia menjadi faktor terbesar tewasnya berpuluh kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina.

“Ini termasuk kerusi Presiden MCA sendiri. Ternyata MCA telah gagal sama sekali mengekang trend mengundi secara polarisasi kaum yang dipelopori DAP. Akuilah hakikat itu.

“Justeru kenyataan seolah-olah MCA yang selama ini mengendong UMNO perlu difikir dengan hati penuh jujur,” katanya.

Ujar beliau, lainlah kalau serangan ‘angin ahmar’ kali kedua selepas PRU dulu begitu parah sehingga MCA bukan saja lumpuh dan hilang upaya tetapi juga turut hilang daya berfikir.

“Kalau begitu, mungkin ada baiknya MCA buat persiapan untuk menbeli ‘batu nisan’ mereka sendiri.

“Harap maaf, sahabat saya Datuk Wee… please never try to take us for granted!” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.