Jangan Jadikan Alasan ‘Hutang Negara’ Sebagai Sebab Tidak Berikan Bonus Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 2 Jun – UMNO meminta Kerajaan Pakatan Harapan agar tidak menggunakan alasan “hutang negara” yang yang kononnya sudah mencecah angkanya RM 1 trilion sebagai sebab utama untuk tidak membayar bonus Aidilfitri kepada para peneroka FELDA dan peserta FELCRA yang akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Unit Komunikasi Stategik Ibu Pejabat UMNO, kerajaan sebelum ini mengagihkan dividen berjumlah RM84.18 juta kepada seramai 59,951 peserta FELCRA Berhad di seluruh negara sebagai ‘duit raya’

“Peserta terbabit menerima antara RM2,000 hingga RM8,000 masing-masing bergantung kepada saiz pegangan saham tanah peserta.

“Tahun lalu, Kerajaan BN juga telah memberikan insentif raya sebanyak RM500 kepada setiap keluarga peneroka FELDA bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri”, kata unit tersebut dalam satu kenyataan media di sini.

Namun hari ini, peneroka FELDA dan FELCRA masih tertunggu-tunggu pengumuman Kerajaan PH mengenai sebarang pembayaran sempena hari raya yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Justeru, UMNO mahu menegaskan kepada Kerajaan PH agar tidak lagi menggunakan alasan “hutang negara” sebagai sebab untuk tidak membayar para peneroka FELDA dan peserta FELCRA yang akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.

Berhubung pemberian bonus Aidilfitri kepada penjawat awam pula, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengesahkan bahawa ekonomi negara dalam keadaan kukuh dan kuat, namun apabila ditanya mengenai pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam, beliau memberikan alasan bahawa ekonomi negara lemah dan akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya hanya untuk penjawat awam yang bergaji rendah sahaja.

“Kita mengucapkan terima kasihlah di atas keprihatian Kerajaan PH untuk menyalurkan Bantuan Khas Raya sebanyak RM400 kepada kakitangan awam dan pembayaran Bantuan Khas Raya sebanyak RM200 kepada pesara kerajaan.

“Namun, di sebalik pembayaran yang bertujuan membantu kakitangan awam dan pesara membuat persediaan menyambut Aidilfitri tahun ini, ada juga kakitangan awam dan pesara yang berasa terkilan dengan pembayaran kali ini.

“Selain jumlahnya yang berkurangan berbanding pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri oleh kerajaan sebelum ini iaitu masing-masing RM500 kepada penjawat awam merangkumi semua gred dan RM250 untuk pesara, pemberian bantuan kewangan oleh Kerajaan PH kali ini juga tidak menyeluruh.

“Ini disebabkan bayaran Bantuan Khas Raya tahun ini hanya diberikan kepada kakitangan awam bergred 41 ke bawah, sekali gus mengabaikan mereka yang berada dalam gred lebih tinggi,” jelasnya.

Pemberian bonus secara berpilih kepada kakitangan awam ini menurutnya lagi, mencerminkan kerajaan PH seolah-olah tidak menghargai sumbangan kakitangan awam dalam gred lebih tinggi, sedangkan mereka turut menyumbangkan tenaga, idea serta masa dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Bayaran bonus yang lebih rendah dan tidak menyeluruh ini pasti menjadi tamparan kepada pekerja sektor perkhidmatan awam apatah lagi kerajaan PH juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji mereka yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ia adalah janji BN dan bukan janji PH.

“Sepanjang sembilan tahun lalu, Kerajaan BN di bawah YB Dato’ Sri Najib Razak telah memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji untuk penjawat awam bergaji rendah, yang kita anggap sebagai suatu ketidakadilan untuk mereka.

“Sebagai contoh, gaji bulanan untuk pembantu pentadbiran adalah sebanyak RM 650 pada tahun 2007, dinaikkan secara berperingkat kepada RM 1,400 menjelang tahun 2018.

“Selain itu, kerajaan BN turut memberikan sagu hati sebanyak RM400 kepada pengerusi masjid, RM500 (imam), RM300 (bilal) dan RM200 (siak) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM674,400 manakala bagi surau utama pula, imam akan menerima sagu hati sebanyak RM500 dan bilal sebanyak RM300,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.