Mesyuarat Cawangan Di Pahang Lancar : Ahli Kekal Bersemangat, Terus Bersatu Hati


KUANTAN, 1 Jun – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Pahang, Datuk Abdul Rahim Abas berkata, akar umbi masih bersemangat dan bersatu hati dalam membantu parti kembali bangkit sekaligus mendapat semula kepercayaan rakyat.

Kerana itulah jelas beliau, mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung di negeri tersebut mendapat sambutan yang amat baik.

“Setakat 27 Mei, sebanyak 300 cawangan daripada 1,146 telah berjaya menjalankan mesyuarat tanpa sebarang masalah. Baki cawangan dijangka akan dapat diselesaikan sebelum 10 Jun ini.

“Dari maklum balas yang saya terima, kita tidak akan berhadapan dengan masalah kegagalan mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup ahli kerana akar umbi kita masih utuh apatah lagi Pahang adalah antara negeri yang berjaya mengekalkan kekuasan BN,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rahim, ahli UMNO di Pahang masih terus yakin dengan kepimpinan parti keramat ini apatah lagi keputusan pilihan raya jelas menunjukkan UMNO masih mendapat sambutan di kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

“Kalau kita lihat keputusan PRU-14 yang lalu, walaupun BN tewas tetapi tidak UMNO malah UMNO adalah parti terbesar yang menang berbanding parti-parti lain. Kita menang undi popular.

“Sedikit sebanyak ini memberi semangat untuk akar umbi meneruskan perjuangan. Saya yakin, UMNO di Pahang akan terus bersatu.

“Jika di kala UMNO dilanda badai yang begitu hebatpun kita di Pahang masih boleh bertahan, maka saya yakin dan percaya, ahli UMNO di negeri ini akan terus bersama-sama kepimpinan parti bagi kita membina semula parti ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.