Antara Janji 100 Hari, Hutang Negara, Tabung Harapan… Mana Satu Mangsa Manipulasi PH?


KUALA LUMPUR, 1 Jun – Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam akhirnya mengakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu memenuhi kesemua janji-janji 100 hari mereka dengan alasan kekangan kewangan.

Mengulas mengenai janji-janji PH ketika musim pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat PH hanya tahu menabur janji manis tetapi mereka gagal mengkaji kemampuan sebenar bagi memenuhinya.

“Yang pasti, perdana menteri mengakui tidak dapat memenuhi semua janji pilihan raya dalam tempoh 100 hari dan mungkin akan mengambil tempoh yang lebih lama atau tidak dapat dilaksanakan terus.

“Kini harga RON95 kekal pada paras RM2.20 dan gagal diturunkan pada kadar RM1.50 seliter seperti yang dijanjikan. Janji untuk membayar subsidi petrol langsung tidak disentuh.

“Kita berhak mengungkit perkara ini kerana itu janji 100 hari Kerajaan PH,” tegas Puad dalam satu kenyataan di laman facebooknya baru-baru ini.

Antara janji-janji manis PH adalah seperti pemberian subsidi petrol, skim Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN dan Skim Peduli Sihat.

Semakin hari semakin jelas PH berusaha memanipulasi angka-angka hutang negara sebagai alasan meraih simpati rakyat atas kegagalan memenuhi janji-janji manifesto PRU14 mereka.

Kini mereka memasuki fasa memanipulasi jiwa rakyat dengan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia, kononnya bagi membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara.

Berhubung dengan penubuhan tabung tersebut, Puad menimbulkan persoalan adakah ianya hasil cadangan Majlis Penasihat Kerajaan atau anggota Kabinet atau oleh perdana menteri yang tidak berani dibantah oleh anggota Kabinet?

“Dulu Kerajaan PH tuduh rakyat susah kerana GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan harga barang yang mahal. Tetapi munasabahkah kerajaan meminta kepada rakyat yang susah itu untuk menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Sudah tentu penyokong Kerajaan PH akan berkata ia bukan paksaan. Sukarela. Kalau begitu berapa jumlah sasaran tabung itu,” soal Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu lagi.

Puad turut berkeyakinan akhirnya nanti syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada akan menjadi mangsa untuk dipaksa memberi sumbangan kepada tabung tersebut.

“GLC sahaja yang mampu untuk memberi sumbangan ratusan juta atau bilion ringgit agar kewujudan tabung ini berbaloi.

“Apakah sejarah berulang kembali…duit Petronas pernah digunakan untuk melakukan ‘bailout’,” sinisnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.