PRU14: BN Kedah Hormati Keputusan Rakyat

ALOR SETAR, 10 Mei – Barisan Nasional (BN) Kedah menghormati keputusan rakyat negeri ini yang menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14, semalam.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya tanpa berbelah bahagi sentiasa menjunjung sistem demokrasi dan perlembagaan negara seperti yang telah diputuskan dalam pilihan raya umum itu.

“Bagi kami, sistem demokrasi dan perlembagaan negara ini perlu terus dijunjung bagi memastikan keharmonian dan kemakmuran tanah air terus terjaga,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ahmad Bashah yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata BN dalam tempoh sepenggal memerintah selepas mengambil alih daripada PAS pada PRU13 lalu telah menjalankan amanah dengan sepenuh hati bagi memastikan kebajikan rakyat, kemajuan negeri dan kesejahteraan negeri dipelihara.

“Semoga negeri Kedah dan Malaysia tercinta terus maju serta terpelihara kedaulatannya,” kata beliau.

Pada PRU14, Pakatan Harapan yang diketuai bekas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir telah menguasai 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

Barisan Nasional (BN) pula hanya memenangi tiga kerusi dengan PAS memperoleh 15 kerusi.

Pembentukan kerajaan negeri yang baharu bagaimanapun masih belum dapat dilaksanakan berikutan majoriti mudah bagi negeri Kedah adalah 19 kerusi DUN.

Ahmad Bashah gagal mempertahankan kerusi Suka Menanti yang diwakilinya selama enam penggal apabila hanya memperoleh 7,050 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau tewas kepada Zamri Yusuf (PKR) dengan majoriti 6,251 undi selepas mendapat 13,301 undi.

Zamri turut mengalahkan calon PAS Mohd Sabri Omar yang memperoleh 4,580 undi.