BN Kalah PRU14 Kerana Gagal Menangi Hati Rakyat

JOHOR BAHRU, 10 Mei – Kekalahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah disebabkan parti itu gagal memenangi hati rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata pemimpin UMNO dilihat hanya sekadar bercakap kepada jentera parti mereka ketika turun padang berbanding mendengar masalah dihadapi rakyat di akar umbi.

“Saya memang sudah jangka kehilangan beberapa kerusi tetapi bukan hilang kerajaan. Ini memang sesuatu di luar jangkaan.

“Mungkin kita terlalu bergantung kepada parti, hanya bekerja untuk orang kita sendiri termasuk ketika berkempen. Kita lupa ketika pilihan raya umum, ia bukan soal UMNO sahaja. Kita gagal memenangi hati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sidang media BN Johor di sini, hari ini.

Hasni yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata walaupun UMNO telah memerintah lebih 60 tahun, namun anggota parti perlu menerima hakikat bahawa parti berkenaan tidak lagi berkuasa.

Katanya, ketika ini, seluruh kepimpinan UMNO Johor masih menunggu kata putus daripada pucuk pemimpin parti sebelum mengambil peranan sebagai pembangkang di DUN Johor.

Dalam masa sama, beliau memberitahu UMNO akan melakukan bedah siasat berhubung kekalahan PRU14.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menjadi ketua pembangkang di Johor, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri itu berkata beliau tidak keberatan menjalankan tanggungjawab itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata kekalahan tersebut menjadi pengajaran dan panggilan daripada lena kepada semua pihak termasuk dalam kalangan pemimpin parti itu untuk menilai sebaiknya isu yang akan menjejaskan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata pada PRU kali ini, beliau dapat melihat kecenderungan rakyat memilih pemimpin mereka berdasarkan isu-isu nasional berbanding isu negeri.

“Anda tahu kenapa…setelah Johor melakukan dengan baik dan anda (media) tahu mengenainya tetapi kami masih…,” katanya.