Pembatalan Langganan Utusan Malaysia, Menteri Jawab Tidak Tahu
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Antara yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dari dulu adalah kebebasan media malah ketika Gobind Singh Deo dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kebebasan media adalah menjadi keutamaannya.
Namun apa yang diperjuangkan itu tidak selari dengan perbuatan mereka. Ini terbukti apabila heboh di media sosial berkaitan surat pekeliling pembatalan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Julai yang ditandatangani Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan dan ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas.
Gobind yang ditemui media di lobi Parlimen hari ini berkata, tidak mengetahui tentang tindakan Kementerian Pendidikan itu dan beliau akan meminta penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai isu ini.
Untuk rekod, pembatalan langganan tersebut melibatkan semua sekolah, universiti, kolej, agensi dan semua institusi dalam Kementerian Pendidikan.
Semalam, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee turut memberikan alasan tidak mengetahui tentang perkara itu. – MediaUMNO