UMNO Ibarat Berlian, Sekecil Mana Pun Nilainya Tetap Tinggi – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – UMNO perlu mengekalkan wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk rakyat bagi memastikan parti terus menjadi pilihan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ujarnya, walaupun UMNO tidak lagi menjadi tunjang pada kerajaan hari ini namun UMNO masih menjadi tumpuan rakyat terutama melibatkan hal-hal kebajikan.

“UMNO memang sinonim dengan amal bakti walaupun kita kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tapi orang masih mencari kita.

“Walaupun kita kalah di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan tapi orang masih mencari UMNO. Kalau rumah terbakar, kena ribut, anak nak pergi masuk universiti ke yang dicari dulu adalah UMNO.

“Sinonim UMNO selama 60 lebih tahun, menjadi peneraju kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu masih lagi ada pada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program ‘Solidariti 75 Tahun UMNO: Jadikan UMNO Parti Induk Politik Tanah Air’ di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu lagi, prestasi tersebut perlu dikekalkan kerana menurutnya khidmat bakti parti kepada rakyat ini akan menjadi bekal kepada UMNO dalam mendepani pilihan raya.

“Ini yang perlu kita gilapkan semula supaya berlian yang ada pada kita ini jangan jadi berkarat.

“Berlian yang tak digilap akan berkarat dan tiada harga tetapi berlian walau kecil bagaimanapun akan bersinar kerana harganya tinggi.

“Jadi keberadaan UMNO dalam masyarakat itu perlu kita gilap untuk memperkasakan parti. Dalam pada masa yang sama kita jangan lupa kita sebagai orang parti tujuan asas kita adalah menubuhkan kerajaan,” kata beliau lagi. – UMNO Online

 

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit