PAU 2020: Mantapkan Penyatuan Menuju PRU-15 – Rosni Sohar
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Wanita UMNO Selangor mengharapkan Perhimpunan Agung kali ini menjadi penanda aras baharu untuk menyatukan lagi ahli parti terutama golongan wanita, kata ketuanya, Datuk Rosni Sohar.
Jelasnya, bagi tulang belakang parti itu penyatuan ini amat penting apatah lagi dengan adanya desas-desus yang mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir.
“Hendak menang pilihan raya, jentera harus diatur. Sampai hari ini kami tak berhenti-henti memastikan jentera dikemaskini.
“Pendekatan kita kepada rakyat agar kita mantapkan jentera parti. Agar kita istiqamah dalam perjuangan ini,” katanya.
Tambahnya, keprihatinan kepada rakyat itu menjadi keutamaan kepada Wanita bagi memastikan nasib mereka terpelihara.
“Maka Wanitalah yang menjadi jambatan atau titian untuk mendamaikan keadaan yang macam-macam ini.
“Sebab kita Wanita ini, tidak ada sebarang kepentingan pun.
“Walaupun kita berjuang untuk 30 peratus wanita jadi calon tapi kita lebih menfokuskan bagaimana hendak menang pilihan raya itu yang paling penting,” ujarnya.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia turut menasihatkan ahli parti atau perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.
“Sebab apa pun dalam perjuangan kalau kita tidak sihat susah. Jadi jaga kesihatan, jaga SOP kita supaya nanti tidak la kena denda dan sebagainya.
“InsyaAllah saya yakin dan percaya sudah ada dalam pemikiran masing-masing untuk jaga SOP.
“Bukan sahaja di peringkat nasional kita harapkan sampai ke peringkat bahagian masing-masing,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib