UMNO Mesti Kekal Relevan Perjuang Nasib Rakyat

ALOR SETAR, 22 Mac – Perhimpunan Agung UMNO kali ini diharapkan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan nasib rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Katanya, rakyat sudah melihat cara dan pendekatan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH)dan Perikatan Nasional (PN) menerajui negara, namun yang terbaik tentunya BN.

“Rakyat dah tengok dah setiap kepimpinan parti-parti politik macam mana.

“Harapan saya supaya rakyat ada kesedaran di bawah kepimpinan UMNO/BN selama 60 tahun, di bawah kepimpinan PH 22 bulan, sekarang ini pula di bawah PN.

“Yakinlah kepimpinan UMNO adalah yang terbaik untuk rakyat. Jadi saya harap untuk perhimpunan agung kali ini rakyat kembali menyokong UMNO,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah beliau berharap agar persidangan kali ini berjalan lancar walaupun diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID19.

“Saya harapkan persidangan kali ini dapat berjalan dengn lancar di bawah norma baharu ini.

“Setiap daripada kita ini perlu mengambil inisiatif untuk menjadikan penjagaan SOP ini sebagai satu cara baharu untuk mentadbir UMNO, “ katanya.

Pandangan sama turut diberikan oleh Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah yang turut berkongsi bahawa UMNO bahagian sudah pun bersedia untuk menganjurkan Perhimpunan Agung UMNO buat julung kalinya.

“Ini adalah buat pertama kali julung-julungnya Perhimpunan Agung UMNO diadakan secara maya yang mana kita sebagai ahli UMNO dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Baru-baru ini kita telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan kita telah bentangkan dari segi persiapan secara maya ini.

“Kita patuh dengan SOP yang telah ditetapkan ini supaya kita bersama-sama dapat mengekang penularan wabak COVID-19,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit