Institusi Peguam Negara: Sudah Tiba Masanya Kerajaan Fikirkan Dua Reformasi Penting – Mohamad
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Perincian segala peristiwa menerusi buku Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” bukan sahaja telah mengundang pelbagai reaksi pemimpin dan masyarakat Malaysia malah ianya juga memaparkan betapa maha berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata luasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara mewajarkan kerajaan untuk memikirkan semula dua reformasi penting.
Pertama menurut beliau ialah perlantikan seorang Peguam Negara yang mana Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara.
“Perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula. Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir sendiri.
“Malaysia mesti mempunyai tatacara perlantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kedua tambah Mohamad lagi pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dan kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti di hadkan.
“Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.
“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan ke arah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas