KWSP… Oh KWSP: Kasihanilah Rakyat, Hulurkanlah Bantuan

KUALA LUMPUR, 19 – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merayu agar kerajaan kasihanilah rakyat sekarang ini, dan hulurkanlah apa-apa bantuan yang munasabah.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, sekarang telah jelas selepas golongan 1 dan golongan 2 membuat permohonan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing, masih ramai diantara permohonan mereka tidak diluluskan.

“Kita telah membuat pelbagai rayuan kepada kerajaan agar permohonan ini diberi kepada semua pencarum yang ingin mengeluarkan sebahagian daripada caruman mereka ketika berhadapan dengan kesukaran sekarang.

“Hari ini rakyat terpaksa melalui sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru sehingga 26 Januari dan berkemungkinan besar akan dilanjutkan lagi.

“Sekali lagi saya merayu kepada kerajaan untuk menimbang semula syarat-syarat pengeluaran caruman ini agar ia dapat dinikmati oleh semua pencarum,” katanya dalam isu terbabit menerusi facebooknya.

Ujarnya, kerajaan harus lebih berperi kemanusian di dalam menangani isu ini kerana lebih ramai lagi rakyat akan kehilangan pekerjaan selepas PKP 2.0 sekarang.

“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ramai mangsa yang melalui kesulitan selepas rumah dan kelengkapan musnah dalam kejadian banjir di banyak negeri di Semenanjung termasuk Sabah.

“Lihatlah berapa ramai lagi para pelabur didalam negara yang akan menghentikan operasi mereka seperti Sony di Pulau Pinang dan Toyota di beberapa negeri di Semenanjung.”

Katanya, ini diterukkan lagi dengan kelembapan pelaburan-pelaburan baru yang nyata memilih negara-negara jiran lain di Asia Tenggara.

“Ditambah pula dengan pengisytiharan darurat, saya yakin hanya pelabur-pelabur yang kurang siuman sahaja akan memilih Malaysia untuk melabur!”

Tegasnya lagi, harus diingatkan, kekayaan negara adalah milik rakyat dan seharusnya rakyat berhak menikmatinya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit