PKPP: Tidak Lagi Wajib Bawa Sejadah Untuk Solat Berjemaah Di Masjid – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Ismail Sabri berkata kelonggaran membawa sejadah sendiri itu mengambil kira keluhan individu yang tidak dibenarkan masuk untuk solat berjemaah di masjid gara-gara terlupa untuk membawa sejadah.

“Saya ingin berterima kasih kepada imam dan jawatankuasa masjid kerana tegas dalam memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini..

Ismail Sabri berkata jawatankuasa masjid dibenarkan menjual pelitup separuh muka tiga lapis kepada jemaah yang terlupa memakai pelitup separuh muka dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Masjid juga boleh menyediakan pelapik kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata mesyuarat khas itu juga bersetuju untuk membenarkan warganegara asing menunaikan solat secara berjemaah di masjid bermula 1 Sept ini.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Manakala kebenaran adalah tertakluk kepada pihak masjid yang perlu mengikut kapasiti dibenarkan dan mematuhi penjarakan fizikal,”katanya.

Sementara itu, kerajaan juga meluluskan SOP proses “sign-on” dan “sign-off” pekerja pelantar minyak dan gas.

Bagi proses “sign-on” untuk warganegara Malaysia, mereka diwajibkan menjalani ‘ujian swab’ sebelum ke pelantar minyak. Bagaimanapun, bagi pekerja bukan warganegara mereka perlu menjalani ujian saringan serta dikuarantin wajib 14 hari sebelum ke pelantar minyak.

Bagi proses “sign-off” iaitu dari pelantar minyak ke darat pula, rakyat Malaysia dan bukan warganegara hanya perlu menjalani ujian saringan dan tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan bersetuju membenarkan pasangan serta anak yang bukan warganegara dan tidak mempunyai Pas Jangka Masa Panjang untuk memasuki Malaysia.

“Namun begitu, mereka diwajibkan untuk memohon Pas Jangka Masa Panjang setibanya di Malaysia. Bagi Penduduk Tetap, mereka dibenarkan masuk tanpa perlu membuat permohonan awal,”katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju membenarkan rakyat Malaysia untuk ke luar negara bagi kes-kes kecemasan yang melibatkan ahli keluarga seperti ahli keluarga sakit dan sebagainya.

Bagaimanapun mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia, katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit