Tampal Tulisan Cina Di Papan Tanda: Mana Sikap Patriotik Dap?
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman membidas tindakan Dap Sarawak yang menampal tulisan Cina di tiga papan tanda jalan di negeri itu.
Jelas beliau, pada saat negara bakal menyambut hari kemerdekaan, tindakan Dap Sarawak ini ternyata mengguris hati rakyat Malaysia.
“Adakah tindakan Dap Sarawak ini mendapat kebenaran kerajaan negeri? Sekiranya tidak, bagaimana mereka boleh bertindak menjangkau undang-undang dan seharusnya tindakan tegas harus diambil segera.
“Alasan mereka kononnya untuk kemudahan pelancong Cina yang datang ke negeri itu tetapi bagaimana pula dengan pelancong dari negara lain kerana bahasa Cina bukan bahasa universal. Jika hendak letak bahasa ke tiga ia haruslah bahasa Inggeris kerana ia difahami seluruh dunia.
“Tidak ada satupun alasan kukuh yang menyokong tindakan mereka ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Justeru tegas Hisham Suhaily yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Kedah, Dap Sarawak harus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Tindakan Dap ini juga jelas menunjukkan mereka tidak ada sikap patriotik. Jika dulu, isu tulisan Jawi, Daplah yang paling lantang menentang dan kini bila membabitkan isu tulisan Cina, mengapa mereka mempertahankannya?
“Ini bukan soal rasis tetapi tindakan mereka ini telah membelakangkan undang-undang maka kerajaan negeri harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab,” ujar beliau.
Baru-baru ini, sekumpulan anak muda Dap Sarawak telah mencetuskan kontroversi apabila menampal tulisan Cina pada tiga papan tanda. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy