Pasukan Petugas Beri Tumpuan Pada Hospital Lebih 50 Tahun

PUTRAJAYA, 22 Julai – Satu pasukan petugas telah ditubuhkan untuk menangani masalah hospital lama yang mempunyai risiko kebakaran dan tidak mempunyai sijil perakuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kata Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pasukan petugas yang ditubuhkan dua minggu lepas itu dan telah mengadakan mesyuarat pertamanya baru-baru ini, akan memberi fokus kepada hospital yang berusia lebih 50 tahun, katanya.

Pasukan itu diketuai Kementerian Kesihatan (KKM), dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku penyedia bantuan teknikal, serta turut dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi berkaitan, katanya.

“Kajian yang dijalankan mendapati hospital berumur 50 tahun ke atas yang perlu diselesaikan terlebih dulu. Ia melibatkan risiko kebakaran terutamanya hospital yang belum mendapat Sijil Perakuan Bomba.

Semua agensi terlibat akan terus berbincang mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Perantisan Nasional di Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Fadillah diminta mengulas mengenai laporan bahawa terdapat 46 hospital yang dikenal pasti sebagai daif dan uzur di seluruh negara yang berisiko mengalami kejadian tidak diingini terutamanya kebakaran.

Antara hospital lama berkenaan ialah Hospital Kajang yang beroperasi pada 1910 dari bangunan asal yang dibina pada 1889, Hospital Kuala Lumpur (1870), Hospital Pulau Pinang (1882), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (1882), Hospital Batu Gajah (1880), Hospital Raja Permaisuri Bainun (1896) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (1920-an).

Fadillah berkata antara cabaran dalam menangani masalah hospital lama ialah mengenai lokasi untuk memindahkan sementara wad-wad yang terlibat. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit