MSN, Yakeb Temui Khalid Jamlus Bincang Aspek Tingkat Kebolehpasaran – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Majlis Sukan Negara dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah mengaturkan pertemuan dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus bagi membantu bekas lagenda bola sepak Perak itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau dan timbalannya Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah bertemu dengan Khalid, selain dua agensi itu, untuk berbincang mengenai usaha meningkatkan aspek kebolehpasaran beliau dalam bidang kejurulatihan.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang ingin tahu usaha yang telah dilaksanakan pusat atlet untuk menjejaki bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara yang mempunyai masalah kewangan untuk menyara kehidupan mereka termasuk Khalid.

Khalid, bekas penyerang kebangsaan, terpaksa menjual kasut emas yang dimenanginya 18 tahun lalu pada saingan Liga Malaysia dengan harga RM10,500 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya, setelah menganggur selama tiga tahun dan kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan PDRM tidak disambung.

Sementara itu Reezal Merican berkata, melalui Yakeb juga kerajaan telah menyuntik dana bagi membantu bekas-bekas atlet yang terkesan apabila COVID-19 melanda negara.

Ia termasuk bantuan kepada bekas pemain bola sepak negara era 70an, Datuk Namat Abdullah dan bekas pelari pecut 100m kebangsaaan dan pemenang pingat emas Sukan Asia 1982, Rabuan Pit.

Menyentuh soalan tambahan dari Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam), mengenai pengusaha sektor sukan, Reezal berkata kerajaan akan memastikan sektor sukan dibuka seawal mungkin, bergantung kepada situasi jangkitan pandemik berkenaan dalam negara.

Reezal berkata bagi peringkat persatuan, dana RM10 juta di bawah inisiatif prihatin sukan disediakan bagi memastikan pembelaan dalam tiga perkara iaitu bantuan pentadbiran, untuk pendigitalan operasi dan bantuan program.

“Bagi operator dan mereka yang terlibat dengan fasiliti persendirian, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kewangan sedang membincangkan satu inisiatif bagi membantu mereka yang mungkin akan diambil perkiraan dalam bajet 2021 nanti,” katanya.

Menjawab soalan asal Sim mengenai status pusat atlet, Reezal Merican berkata fungsi dan peranan “pusat atlet” masih lagi penting dan signifikan sebagai “pusat sehenti” untuk para atlet mendapatkan khidmat nasihat dalam pelbagai aspek antaranya kerjaya, pendidikan, pengurusan kewangan dan kaunseling.

Justeru kementerian melalui MSN akan meneruskan inisiatif yang baik seperti ini cetusan idea bekas mentei belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit