Berhati-Hati Akaun Palsu Ambil Kesempatan Atas Nama Datuk Seri Najib – Razlan
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafee mengingatkan orang awam yang ingin menderma kepada Tabung Sekretariat Solidariti Datuk Seri Najib, agar berhati-hati kerana kini wujud beberapa akaun palsu yang mengambil kesempatan di atas nama Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Tabung Solidariti itu, menyifatkan perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan dilakukan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan dengan cara menipu rakyat yang benar-benar ikhlas untuk memberikan derma bagi membantu Datuk Seri Najib.
“Saya mengharapkan agar penyumbang yang ingin memberikan sumbangan kepada Datuk Seri Najib berhati-hati agar tidak terpedaya dengan akaun palsu tersebut. Saya difahamkan wujud beberapa akaun palsu yang menggunakan nama Datuk Seri Najib.
“Ini semua adalah perbuatan pihak yang tak bertanggungjawab yang hanya tahu untuk mengambil untung di atas musibah pihak lain. Saya harap, orang awam yang ingin menyumbang kepada tabung itu lebih berhati-hati selepas ini,” jelasnya ketika dihubungi oleh UMNO Online di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Razlan, jumlah sumbangan orang awam kepada Tabung Sekretariat Solidariti Datuk Seri Najib kini sudah pun mencecah sebanyak RM 236,000 setakat hari ini.
“InsyaAllah, saya yakin tabung ini akan mencapai matlamatnya untuk mencapai kutipan RM500 ribu tidak lama lagi. Setakat ini setiap hari ada sumbangan yang diberikan oleh orang awam bukan saja dari Malaysia, tapi dari juga dari luar negara, seperti Singapura dan Kanada.
“Setiap kali mereka menyumbang, mereka juga akan menghantar pesanan melalui whatsapp memberikan harapan mereka terhadap Datuk Seri Najib, agar beliau tidak diaibkan dan segala proses perundangan berjalan dengan adil dan telus dan tidak bermotifkan balas dendam politik semata-mata.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada Tabung Sekretariat Solidariti Datuk Seri Najib. Semoga sumbangan ikhlas yang dihulurkan itu diberikan balasan yang setimpal oleh Allah swt kepada mereka yang menyumbang, insyaAllah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkan derma masing-masing ke dalam akaun CIMB Kelab Belia Berkhidmat 8601952060.-MediaUMNO