Wanita Adakan Solat Hajat, Puteri Minta Perbicaraan Adil Untuk Najib

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Wanita UMNO dukacita atas penangkapan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB hari ini.

Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata. sebagai seorang rakyat yang telah banyak berjasa kepada negara, Wanita UMNO mendesak supaya beliau diberikan hak sepenuhnya kepada perbicaraan yang telus, adil.

Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa Najib patut diberi layanan yang seharusnya dalam proses penahanan dan pendakwaan.

“Insya-Allah, Wanita UMNO akan mengadakan solat hajat di semua 191 Bahagian untuk mendoakan keselamatan dan keadilan buat Datuk Seri Najib yang merupakan mantan Presiden UMNO yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara.

“Saya menyeru semua ahli UMNO terutamanya Wanita UMNO supaya tenang menerima perkembangan terbaru ini dan terus berdoa supaya UMNO dan ahli-ahlinya terus diberi perlindungan Allah S.W.T,” katanya.

Sementara itu Puteri UMNO Malaysia meminta rakyat tidak menghukum bekas perdana menterib bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Hanya mahkamah sahaja layak menentukan sama ada Datuk Seri Najib Razak bersalah atau sebaliknya.

“Seperti semua sedia maklum Datuk Seri Najib Razak telah pun berikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa seperti SPRM dalam siasatan kes 1MDB. Ia juga sudah menjalani proses semakan oleh PAC dan forensik oleh Jabatan Audit Negara semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri,” kata Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang menghormati kedaulatan undang undang, Puteri UMNO memohon agar apa jua tindakan yang akan diambil mestilah berlandaskan perlembagaan.

“SPRM harus menjaga hak Datuk Seri Najib dengan hanya membuat tuduhan di Mahkamah dan tidak memberi ruang kepada perbicaraan di media.

“Segala siasatan mestilah dijalankan dengan bebas dan adil tanpa tekanan mahupun campur tangan politik mana mana pihak termasuk kerajaan,” katanya. – BNBBC

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.