Isu Debat Calon Presiden : UMNO Tak Perlu Ikut Rentak Luaran – Annuar Musa
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa khuatir dengan trend populis dan percubaan mengikut rentak luaran secara berlebihan khususnya berkaitan dengan cadangan untuk mengadakan debat antara calon Presiden UMNO.
Baru-baru ini timbul isu mengadakan debat dengan dua calon Presiden UMNO dilaporkan bersetuju sementara sementara lima lagi calon belum memberikan reaksi dengan ramai yang menanti-nanti reaksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas Presiden dan juga merupakan salah seorang daripada tujuh calon bertanding.
“Difahamkan isu ini turut di campuri oleh pemimpin parti lain termasuk Menteri dari parti Dap yang menawarkan rakaman dan siaran oleh stesen televisyen tertentu.
“Ingatlah, jika kita bertindak berlebihan ia boleh membawa banyak keburukan dari kebaikan kepada parti, apa lagi ketika kita sedang melalui satu kejutan kehilangan kuasa dan status sebagai parti pemerintah,” katanya dalan satu kenyataan media hari ini.
Ujarnya, debat secara umumnya adalah aktiviti yang baik kerana ia membolehkan para peserta berkongsi pendapat atas sesuatu isu, namun dalam konteks pemilihan Presiden UMNO, ia harus difikirkan secara lebih berhemah dan penuh kebijaksanaan.
“UMNO pada masa ini adalah sebuah parti pembangkang. Setakat ingatan saya tidak pernah ada sebuah pun parti pembangkang yang pernah mengadakan ‘public debate’ antara calon presiden parti mereka.
“Mungkin oleh kerana UMNO atau calon calon Presiden UMNO ada tarikan istimewa tersendiri,maka debat ini di harap menjadi realiti.Namun suka saya menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak terlalu ghairah sehingga terlupa gelanggang mana mereka harus bersilat dan irama paluan siapa yg harus mereka menari.”
Tegasnya, pemilihan jawatan dalam parti adalah urusan dalaman keluarga atau ahli UMNO dan ia juga tertakluk kepada peraturan,etika dan tradisi tertentu.
“Ia merupakan perkara sensitif dan tidak harus terdedah kepada orang luar, apa lagi ‘musuh’. Kita seharusnya lebih terbuka, tetapi keterbukaan itu mesti dalam kerangka yang tidak memudaratkan matlamat dan strategi perjuangan.
“Justeru, kita perlu uruskan urusan dalaman kita secara tertib dan penuh kebijaksanaan. Yang lebih penting ialah jangan sehingga percaturan dalaman kita ditentukan oleh musuh kita atau kita tertikam kawan dengan pisau yg di berikan pihak yang memusuhi kita.
“Bagi saya memadai dengan kita berwacana melalui pelbagai media. Kita melayani pelbagai wawancara dan kita berbicara melalui pelbagai cara.”
Jelasnya, mesej dan visi calon perlu sampai kepada mereka yang bakal membuat keputusan,dan debat awam bukanlah satu satunya cara untuk mencapai matlamat ini
“Biarlah keberanian pemimpin turut bersulamkan kebijaksanaan kerana biasanya kebijaksanaan jauh lebih penting daripada hanya keberanian.
“Jika mahu berdebat , terutama bagi perkara menyentuh kepentingan rakyat dan negara, saya mencadangkan kita adakan satu perdebatan terbuka antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang apabila genap 100 hari pentadbiran kerajaan PH kelak. Ada berani?” tegasnya lagi. – MediaUMNO