Tindakan Kerajaan Burukkan Ekonomi Negara Punca Kejatuhan Bursa Saham Berterusan

KUALA LUMPUR, 19 Jun – UMNO menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan aliran yang menurun di Bursa Malaysia secara berterusan untuk tempoh yang lama, di mana penurunan ini bukan saja bakal menjejaskan prestasi syarikat pengurus dana seperti KWSP, malah akan turut menjejaskan keupayaannya untuk memberi dividen pada masa depan.

Dalam satu kenyataan media, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO menegaskan, penurunan harga saham PLC di Bursa Malaysia akan memberikan impak termasuk pengurus dana lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Tabung Haji dan pelbagai lagi. 

“Apakah kerana terlalu gelojoh memperkenalkan pembaharuan yang kebanyakannya bermotifkan balas dendam,  kepimpinan PH sanggup memperjudikan kestabilan ekonomi negara dan kantung pendapatan rakyat? 

“Oleh kerana terlalu sibuk membongkar kesalahan BN,  Kerajaan PH sebaliknya meminggirkan pendekatan untuk mensejahterakan rakyat dan negara. 

“Apa yang berlaku pada Bursa Malaysia adalah contoh pengabaian kerajaan pada peringkat mikro ekonomi negara. Dengan dakwaannya bahawa hutang negara mencapai RM1 trilion, sehingga mewujudkan Tabung Harapan bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada janji manifestonya, PH sebenarnya akan menambah lagi hutang negara dengan mengemis simpati dunia,” tegas kenyataan itu. 

Sehubungan itu, UMNO meminta agar Kerajaan PH perlu menggesa Menteri Kewangan dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi supaya berhenti dari terus memburuk-burukkan ekonomi negara sendiri semasa mereka berada di luar negara. 

Jelasnya, tidak ada sebarang kebaikannnya memberitahu kepada pelabur luar negara bahawa ekonomi negara bakal bankrap, sedangkan hakikatnya dakwaan itu amat jauh dari kebenarannya. 

“Antara punca utama juga ialah pelabur asing menjual saham dan membawa keluar dana adalah kerana kegiatan politiking melampau iaitu keghairahan memburukkan BN dengan kenyataan Kerajaan PH konon hutang negara lebih RM1 trilion dan kutipan Tabung Harapan. 

“Terbaru yang memburukkan imej negara dan iklim pelaburan apabila Menteri Hal-Ehwal Ekonomi,  Azmin Ali dilaporkan memberitahu media perniagaan antarabangsa paling berpengaruh,  Financial Times bahawa Malaysia sebuah negara bankrap. 

“Disebabkan tindakan mereka itu, pelabur luar negara akan takut datang melabur dan yang sudah melabur sudah pasti mahu keluar dari Malaysia. Ini pastinya akan memberi impak negatif yang besar kepada ekonomi dan rakyat Malaysia. 

“Berhentilah dari terus mempolitikkan ekonomi negara. Masa kempen pilihan raya sudah berlaku. PH sudah ditakdirkan menang. Maka itu, inilah masa untuk mengurus ekonomi negara dengan baik,” ujarnya. 

Menurut kenyataan itu lagi, adalah sesuatu yang membimbangkan, selepas kira-kira sebulan mengambilalih tampuk pentadbiran negara susulan kemenangan mengejut pada PRU14, komuniti pelabur di Bursa Malaysia terutama pelabur asing, terus memberi reaksi negatif terhadap pelbagai langkah drastik yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Penolakan komuniti pelabur terhadap pelbagai langkah Kerajaan PH seperti pembatalan beberapa projek mega serta penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dicerminkan oleh penurunan lebih 100 mata Indeks FBM KLCI, iaitu Indeks penanda aras Bursa Malaysia.

“Pada penutup sehari sebelum PRU14 pada 8 Mei lalu, Indeks FBM KLCI selasa berada pada 1,846.51. Namun, setakat penutup semalam (18 Jun 2018), indeks penanda aras berkenaan susut 103.08 mata kepada  1,743.43. 

“Sejajar kejatuhan besar Indeks FBM KLCI, ia turut menyebabkan penurunan harga saham syarikat awam tersenarai (PLC) di pasaran saham tempatan. Ini sekali gus mengheret jatuh nilai pelaburan syarikat pengurus dana yang memiliki banyak pelaburan dalam PLC,” jelasnya kenyataan tersebut. 

Tambah Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO lagi, antara -syarikat pengurus dana yang terkesan dengan kejatuhan nilai pelaburan mereka susulan aliran menurun dalam urus niaga Bursa Malaysia ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, dalam tempoh sebulan selepas PRU14, nilai pelaburan KWSP dalam 10 syarikat awam tersenarai PLC turun 12% atau RM6.09 bilion. Nilai pelaburan terbabit menurun secara dramatik daripada RM51.21 bilion kepada RM45.12 bilion, hanya dalam tempoh sebulan.

“Sepuluh saham utama merekodkan prestasi terburuk dalam portfolio KWSP dalam tempoh sebulan adalah Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), IJM Corp Bhd, Gamuda Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB), CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Genting Plantations Bhd.

“Sektor pembinaan adalah yang paling teruk susulan kajian semula Kerajaan PH mengenai projek infrastruktur mega iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan laluan ketiga mass transit (MRT3),” katanya. 

Menurut laporan mingguan The Edge, CMS mendahului senarai dari segi kuantum kejatuhan dalam harga saham. Harga saham kumpulan itu merosot 37%, sekali gus menghapuskan RM1.7 bilion dari permodalan pasarannya., KWSP, yang memiliki 10.69% kepentingan dalam syarikat itu, menyaksikan penurunan nilai pelaburannya sebanyak RM180 juta.

Kedua-dua MRCB dan IJM menyaksikan harga saham mereka turun 32 %, menghakis RM1.4 bilion dan RM3.1 bilion daripada permodalan pasaran masing-masing. KWSP, yang memiliki 35.32% ekuiti dalam MRCB, menyaksikan nilai pelaburannya susut RM490 juta, manakala nilai pegangan 14.5 % dalam IJM juga turun RM450 juta.

Saham Gamuda pula menjunam 28 %, menghakis RM3.7 bilion daripada permodalan pasarannya. Oleh itu, nilai pegangan 10.11% KWSP juga menurun sebanyak RM370 juta.

Walaupun stok pembinaan adalah yang paling banyak rugi susulan jualan besar-besaran pasca PRU14, dua saham perbankan dan dua syarikat telekomunikasi iaitu Maybank, CIMB, TM dan Axiata, sebenarnya paling banyak menjejaskan nilai pelaburan KWSP.

Secara keseluruhannya, KWSP kehilangan nilai pelaburan sebanyak RM3.86 bilion dalam empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – Maybank, Axiata, CIMB dan TM dalam tempoh sebulan. Kejatuhan harga saham Maybank, Axiata, CIMB dan TM masing-masing 7%, 12%, 8% dan 21% sejak PRU14. Ini menyebabkan KWSP kerugian atas kertas nilai pelaburan dalam syarikat terbabit, masing-masing RM1.06 bilion, RM990 juta, RM730 juta dan RM690 juta.

Namun, kejatuhan harga saham TNB menyebabkan nilai pelaburan KWSP paling teruk terkesan apabila permodalan pasaran gergasi utiliti itu menyusut sebanyak RM8.5 bilion. Akibatnya, KWSP, yang memiliki 12.67%  kepentingan dalam TNB, menyaksikan nilai pelaburannya susut 9% atau RM1.08 bilion.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit