MCA Tak Pernah Bantah Tulisan Jawi, Tegas Dr Wee Ka Siong
TANJUNG PIAI, 14 Nov – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan tegas berkata partinya tidak pernah membantah tulisan jawi sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal dalam talian.
Ini kerana katanya, selain bersifat opsyenal MCA juga berpendirian tulisan jawi dan khat merupakan satu khazanah serta seni warisan.
“Berbalik apa yang Datuk Seri Wee Jeck Seng sebutkan hari ini, saya nak ulangi lagi pendirian MCA tidak pernah membantah tulisan jawi sebagai satu seni warisan ataupun satu tulisan yang dihayati.
“Malahan bagi sesiapa yang nak mempelajari kita tidak ada masalah. Kita galakkan kalau orang Cina boleh mempelajarinya, orang Melayu boleh mempelajari kaligrafi Cina.
“Kenapa tidak kita galakkan yang bangsa lain mempelajari kaligrafi masing-masing, tidak ada masalah tetapi dalam konteks menghayati, atau digalakkan sebagai kokurikulum atau dimasukkan sebagai penghayatan dalam seni visual, pendidikan seni tidak menjadi masalah bagi kita,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan MCA, di Pekan Nanas, di sini malam tadi.
Dr Wee mengulas mengenai satu status Facebook yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Plihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang membidas Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng tetapi salah satu perkara yang telah dilaporkan oleh portal Malaysiakini mengatakan MCA membantah tulisan jawi.
Dr Wee berharap portal tersebut berlaku adil kepada mereka dalam melaporkan sesuatu berita serta tidak mengambil dari sudut yang berlainan.
“Saya berharap kita melihat perkara ini jangan mengambil ‘out of context’, bermaksud apa yang berlaku dari segi permulaan isu daripada 25 Julai sehinggalah kabinet membuat keputusan.
“Itu adalah satu perkara yang dibawa oleh Dap sendiri bertarikh 26 Julai mereka membuat mesyuarat. Tidak ada kena-mengena dengan MCA. Tetapi MCA telah dikutuk pada 30 Julai, barulah 31 Julai kita membidas apa yang berlaku,” tegasnya lagi.
Jelasnya juga, kononnya bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon dipersalahkan kerana wujudkan satu dasar baru yang dibawa oleh BN tetapi pada waktu yang sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada 3 Ogos pula mengutuk UMNO kononnya UMNO dan BN tidak memperkasakan jawi.
“Jadi, ini yang dikata sebab itulah PH bawa perkara ini dan menghidupkan semula. Tapi rakan-rakan sekutunya yang lain Dap kata ini adalah dasar yang ditentukan oleh BN.
“Kepada masyarakat Cina dia cakap lain, kepada masyarakat Melayu dia cakap lain. Jadi kita telah membongkarkan percaturan politik mereka kerana kepada masyarakat yang lain-lain dia cakap lain.
“Akhirnya keputusan oleh kabinet terpaksa membuat penyesuaian setelah perbincangan, bantahan dari masyarakat, apa masalahnya,” katanya.
MCA jelas Dr Wee lagi memberi perhatian mengenai pedagogi dalam menguasai bahasa Melayu.
“Yang perubahan dasar ini dia hendak mengajar bahasa Malaysia, simpulan bahasa, peribahasa dan dia kata melalui mempelajari tulisan jawi.
“Itu yang kita kata lebih elok gunakan pedagogi menguasai bahasa Melayu, bahasa Malaysia mempelajari simpulan bahasa, peribahasa secara terus. Itu yang kita minta pedagoginya lebih terus dan lebih berkesan.
“Dan setelah itu setelah semua pihak dan masyarakat telah bangkit perkara ini dan nampaknya pemimpin PH akhirnya terpaksa membuat suatu penyesuaian dan apabila suatu keputusan dibuat oleh kabinet iaitu dibuat secara pilihan,” ujarnya lagi.
Kerana itulah jelasnya lagi, pendiriannya mengenai tulisan jawi tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang, sebagaimana yang telah dibuat di Facebooknya, yang turut dilaporkan oleh UMNO-Online pada 6 Ogos lalu.
“Tengok pendirian saya dulu, kini sama juga tidak pernah ubah iaitu jawi, tulisan khat adalah warisan orang Melayu lebih-lebih lagi di Johor saya tahu, empat penggal wakil rakyat semua pelajar Islam di sini memang belajar bahasa jawi di kelas agama di sebelah petang.
“Tidak menjadi masalah, itu satu warisan kita. Dan saya sendiri sudah mempelajari jawi sejak kecil tetapi dari segi pedagoginya apakah itu cara terbaik untuk mempelajari simpulan bahasa dan seterusnya menguasai bahasa Malaysia,” katanya yang melihat akhirnya kerajaan terpaksa ubah pendirian asal dan mereka sudah terjerat kerana kononnya dahulu hendak menyalahkan BN.
MCA juga ujarnya membidas tindakan pihak berkepentingan yang memainkan isu tersebut kerana ia jelas lebih bersifat politik percaturan dan satu taktik politik kotor, yang tidak sepatutnya berlaku. – UMNO ONLINE