Dr Wee Menjawab Persepsi Jahat Terhadap MCA Berhubung Isu Tulisan Jawi / Seni Khat


MCA dituduh menghasut masyarakat Cina membenci Melayu dan mengamalkan politik perkauman demi meraih sokongan.

Ingin ditegaskan di sini:

1. Parti MCA MENGALU-ALUKAN sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari tulisan Jawi. Ini menonjolkan kepelbagaian budaya bangsa Malaysia.

2. MCA berpendapat bahawa apa yang ada dalam buku teks BM tahun 5 SJKC sekarang yang memberi pendedahan kepada pelajar SJKC tentang seni khat, tulisan Tamil dan kaligrafi Cina boleh DIKEKALKAN.

3. Kalau seni khat nak dimasukkan ke dalam subjek seni SJKC bersama komponen seni dan kaligrafi lain, atau dijadikan aktiviti ko-kurikulum memang boleh. Malah, sekiranya diperkenalkan kelas elektif seni khat atau subjek pilihan (optional) kepada pelajar juga tiada masalah. Tapi, bukan dengan cara mewajibkan penguasaan seni khat demi mempelajari simpulan bahasa, pepatah dan peribahasa.

4. Malahan saya sendiri belajar tulisan Jawi pada usia 14 tahun. Saya juga sentiasa menasihati pelajar SJKC supaya meningkatkan penguasaan dalam BM kerana sebagai anak kampung, saya tahu betapa pentingnya BM sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan lingua franca dalam nusantara.

5. Namun, mempelajari simpulan bahasa, pepatah Melayu, peribahasa, pantun dan sajak melalui seni khat atau tulis Jawi, ianya dianggap sebagai pedagogi yang kurang berkesan. Kenapa tidak belajar terus dalam BM? Itulah perkara asasnya! Kalau ramai rakan-rakan Melayu saya pun kurang arif membaca tulis Jawi, apatah lagi pelajar SJKC yang hanya berusia 10 tahun dan perlu menguasai 3 bahasa sekaligus?

6. Jangan salah anggap bahawa MCA mahu seni khat dihapuskan daripada silibus lama. Apa yang dibincangkan adalah cadangan baru yang bakal dilaksanakan mulai tahun 2020 di bawah Kerajaan PH.

7. Dap sedar bahawa mereka kini sukar berdepan dengan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina. Tambahan pula banyak janji manis yang ditabur semasa PRU14 gagal ditunaikan. Oleh kerana itu, MCA dijadikan sasaran mereka bagi menutup pekung sendiri. Isu ini berlarutan sejak 12 hari yang lalu. Sebelum ini saya tidak masuk campur dalam kontroversi ini sehinggalah Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Lim Kit Siang menuduh kononnya MCA yang meluluskan silibus baru mempelajari seni khat mulai tahun 2020.

Apa hal ini? PH sudah memerintah negara lebih dari setahun, tetapi BN dan MCA pula dipersalahkan. Sebab itu saya rasa terpanggil untuk mengulas isu ini dan memperbetulkan fakta salah yang diketengahkan oleh Dap.

8. Para pemimpin Dap dan Pakatan Harapan terbukti pelakon yang handal. Kebanyakan mereka ini bersifat talam dua muka dan umpama sesumpah yang berubah warna mengikut persekitaran sekeliling. Ini dapat dibuktikan menerusi beberapa kenyataan pemimpin PH sendiri.

9. Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Rawa pada 3 Ogos 2019 menuduh BN ketika berkuasa mahu menghapuskan tulisan jawi dan seni khat di SJKC / SJKT. Beliau mendakwa kerajaan PH berusaha menghidupkan semula tulisan jawi sebagai satu warisan budaya. https://www.sinarharian.com.my/…/Tulisan-jawi-UMNO-Pas-jang…

10. Sejarah tidak boleh dipadamkan. Pada 3 Jun 1984, Lim Kit Siang mengkritik MCA kononnya menyokong usaha KPM memperkenalkan seni khat. Katanya, tulisan Jawi yang diperkenalkan KPM bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. https://bibliotheca.limkitsiang.com/…/education-ministry%…/…

Tapi, selepas anaknya menjadi Menteri Kewangan, Kit Siang ubah pendiriannya. Pendirian yang tidak konsisten ini telah dilaporkan oleh media dua hari yang lalu. Memang hipokrit! Begitu juga dengan apa yang pernah dilakukan pemimpin Dap. Pada tahun 2008, 4 orang pemimpin Dap mengadakan sidang media dan menyerahkan memorandum membantah penggunaan papan tanda tulisan Jawi di Kuala Lumpur. http://teresakok.com/…/papan-tanda-jalan-yang-mengandungi-…/

Persoalannya, kenapa pihak Dap secara selektif menterjemahkan tajuk berita yang tidak bertepatan dengan apa yang dilaporkan? Banyak lagi kenyataan yang bercanggah di antara pemimpin PH dan Dap tidak pula diterjemahkan dalam BM. Apa yang nak ditakutkan?

Dikepilkan beberapa penterjemahan keratan akhbar yang diputarbelitkan (rujuk lampiran).

Apa yang timbul sekarang ialah MCA cuba dituduh sebagai penghasut atau pencetus suasana yang tidak harmoni di negara ini. Sedangkan MCA merupakan salah satu parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara dalam masyarakat majmuk bersama UMNO dan MIC.

Politik tidak matang dan mencetuskan sentimen perkauman bukanlah amalan MCA sejak dahulu hingga ke hari ini. Parti MCA tidak sama dengan Dap. MCA tidak bersifat chauvanis dan juga tidak hipokrit!

Kesimpulannya, kalau orang Dap mahu melabelkan WEE KA SIONG sebagai rasis, itu memang tohmahan yang tidak berasas. Saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung Melayu di mana rumah saya tidak jauh dari sebuah surau. Saya bergaul dengan orang Melayu sejak kecil.

Kata pepatah Melayu : “Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung”!

Impian saya ialah semua rakyat dapat hidup aman, damai dan harmoni. Kalau semua rakyat dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik dan tidak pelat tanpa mengira samada mereka berasal dari SK, SJKC atau SJKT, maka kita akan mencapai perpaduan nasional seperti yang diidam-idamkan. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Presiden MCA