Kerana Mimpi Lain-lain, PH Masih Gagal Capai Kesepakatan Tadbir Negara
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berkata, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya masih belum bersedia menjadi kerajaan dan kerana itulah mereka masih terus gagal mencapai kesepakatan untuk melaksanakan mandat mentadbir negara ini dengan baik.
Jelas beliau, sekiranya PH terus gagal mencapai kesepakatan dalam pentadbiran, sudah pasti mereka tidak akan dapat membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara ini.
“Sebenarnya dari awal lagi kita sudah dapat melihat bahawa PH tidak pernah ada kesepakatan. Sebab itu dulu Barisan Nasional (BN) selalu mengatakan mereka ini tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain dan ia terbukti apabila mereka menang dalam PRU-14 yang lalu dan menjadi kerajaan memerintah.
“Sudah sebulan mentadbir tetapi mereka masih gagal untuk melengkapkan barisan Kabinet. Janji yang mereka tabur masa berkempen dulu pun masih tidak berjaya ditunaikan.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah memplagiat hasil usaha kerajaan BN dengan menukar nama sahaja,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Ujar beliau, rakyat sebenarnya sedang memerhati apakah kerajaan baru ini mampu memberikan yang terbaik malah lebih baik daripada BN ataupun akan terus beretorik sepanjang masa.
“Jika ini yang berlaku, maka sudah pasti rakyat akan kembali bersuara.
“Sebagaimana rakyat mampu menumbangkan BN yang telah 60 tahun memerintah maka tidak mustahil rakyat juga mampu menjatuhkan kerajaan baru ini,” tegas beliau.
Pada PRU-14 yang lalu, PH telah menabur pelbagai janji kepada rakyat dan kononnya ia akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan mereka. Namun, selepas sebulan mereka berkuasa, sudah mula kelihatan janji tersebut bakal tinggal janji.
Saban hari, PH mula berdalih dan mengeluarkan kenyataan dengan mengakui kesukaran untuk melaksanakan segala bentuk janji yang telah dibuat.
Sudah pasti, rakyat ternanti-nanti untuk PH menunaikan janji-janji tersebut dan sekiranya ia masih terus gagal ditunaikan maka ini adalah penipuan terbesar dalam sejarah negara ini.
Untuk rekod, antara janji PH adalah menghapuskan tol, menurunkan harga minyak ke kadar RM1.50 per liter dan memansuhkan bayaran PTPTN. – MediaUMNO