Keputusan Inkues Adib: UMNO Selangor Desak 4 Perkara Diambil Tindakan Segera
SELANGOR, 27 Sept – Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor menyambut baik keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam terhadap punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah perbuatan jenayah dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.
Justeru itu, Pengerusinya Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, UMNO Selangor mendesak agar empat perkara yang digariskan ini diambil tindakan segera oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Pertama, kami mendesak agar Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan kerana telah campur tangan dan cuba menafikan keadilan perundangan terhadap kematian Allahyarham Adib ketika proses prosiding inkues sedang berjalan.
“Kedua, UMNO Selangor mendesak Exco Dap Selangor, V. Ganabatirau juga meletak jawatan kerana menuduh kes itu berpunca daripada tindakan orang Islam menyerang kuil Sri Mariaman,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Seterusnya ujar Mat Nadzari, UMNO Selangor turut mendesak agar arahan Koroner Rofiah Mohamad kepada polis dan Peguam Negara diikuti dengan teliti dan diberi perhatian serius.
“… yang keempat, UMNO Selangor mendesak agar kumpulan penjenayah yang masih bebas dapat ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan.
“Kami dengan tegas mendesak kerajaan mengambil tindakan segera supaya keadilan dapat ditegakkan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem mahkamah dan sistem perundangan di negara ini tanpa mengira kaum dan agama,” jelas beliau.
Hari ini, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Adib, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.
Kecederaan ‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu. – UMNO ONLINE