Kerajaan PH Perlu Melihat Petani Sebagai Aset Penting Negara – Suraya

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) perlu melihat golongan petani sebagai aset penting buat negara.

Jelas beliau, ini kerana para petani adalah tulang belakang yang mengusaha tanah pertanian untuk mengeluarkan sumber makanan kepada rakyat dalam negara ini.

“Kerana itulah, PH perlu melihat semula peruntukan kepada sektor pertanian dalam Bajet 2020 yang akan dibentang pada 13 Oktober 2019 nanti. Dalam bajet yang lalu, peruntukan untuk sektor pertanian telah dipotong sebanyak 50 peratus berbanding Bajet 2018 yang dibentang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Beberapa peruntukan dan bantuan kepada petani dan nelayan serta penoreh getah telah dikurangkan dan ada juga yang telah dihapuskan dalam bajet 2019. Ini menyebabkan golongan petani, nelayan dan penoreh terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kenaikan harga barang yang semakin melambung,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang ketika menjadi jemputan dalam program Sembang Kopi-O bertajuk ‘Pertanian yang Semakin Mundur di Era Kerajaan Pakatan Harapan’.

Suraya turut membidas kerajaan yang dilihat tidak mempunyai polisi dan dasar pertanian yang komprihensif untuk memajukan sektor ini seterusnya menaikkan taraf hidup golongan petani.

“Kerajaan perlu meneruskan dasar transformasi pertanian yang dibuat oleh kerajaan BN dahulu kerana ia telah memberi kesan yang baik terhadap peningkatan taraf hidup golongan petani dan nelayan.

“Semasa saya menjadi Exco Pertanian Negeri Kedah, beberapa program seperti Kedah Food Valley dan Sawah Gemilang telah dilancarkan dan ini memberi kesan positif kepada petani dalam meningkatkan hasil serta pendapatan mereka. Kedah Food Valley adalah program promosi hasil pertanian manakala program Sawah Gemilang adalah projek estet padi berskala besar di luar kawasan MADA.

“Saya juga menggesa kerajaan untuk menyediakan bajet yang lebih besar dalam melancarkan revolusi pertanian negara dan cuba menarik generasi muda menceburi bidang pertanian. Semasa kerajaan BN, sejumlah peruntukan telah disediakan untuk menarik generasi muda menceburi bidang pertanian dengan menyediakan latihan, modal serta kursus pertanian secara moden dan efisen,” jelas beliau.

Selain itu ujar Suraya, subsidi pertanian mesti terus ditingkatkan untuk memastikan pengeluaran makanan yang mencukupi terutama beras kerana ianya adalah makanan ruji rakyat Malaysia sebagai jaminan keselamatan makanan negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit