Segera Tubuhkan RCI, Siasat Pemberian Mykad Yang Diragui – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan yang diragui kaedahnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menubuhkan RCI ini bagi menjernihkan segala polemik yang terus menular dalam masyarakat berkenaan dengan pemberian kewarganegaran melalui kaedah yang meragukan.
“Ingatlah kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi negara dan tidak wajar diberikan secara sewenang-wenang melainkan kepada mereka yang benar-benar layak di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius isu-isu berkaitan pemberian kewarganegaraan malah masih ingat sewaktu isu pemberian kewarganegaraan secara longgar dan melalui saluran belakang yang kami timbulkan pada 23 Julai lalu, namun pantas sekali Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikannya.
“Begitu juga bila tular pelbagai berita mengenai desas-desus aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di negara ini, cepat sekali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikannya.
“Ternyata kebimbangan yang dicetuskan ada asasnya apabila media mendedahkan penahanan pegawai tinggi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang oleh pihak polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.
“Ini sekaligus membuktikan penafian KDN dan JPN sebelum ini boleh disanggah dan menjadikan integriti mereka boleh dipersoalkan,” katanya lagi.
Justeru, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan yang diragui kaedahnya.
Tegas beliau, penubuhan RCI ini bersandarkan kepada beberapa asas dan tujuan berikut:
(a) Dengan kedudukan tinggi pegawai yang ditahan, adalah tidak munasabah kes ini hanya melibatkan lebih enam keping MyKad dan bernilai RM350,000 sahaja, malah dikhuatiri aktiviti ini sudah berjalan lama dan melibatkan bilangan MyKad yang jauh lebih banyak;
(b) Aktiviti yang berlaku di Pulau Pinang ini lebih penting untuk disiasat oleh sebuah badan bebas seperti RCI dengan lebih mendalam kerana sudah lama berlegar dakwaan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah dan sedang berusaha menambah pengundi Cina bagi mengukuhkan kedudukan di negeri yang dikuasainya itu;
(c) Skop tugas RCI ini juga antara lain perlu mengenalpasti dalang-dalang sebenar di sebalik pemberian atau penjualan MyKad kepada warga China, mengenalpasti bilangan sebenar mereka yang telah menerima kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya dan mengenalpasti impak kepada demografi penduduk dan pengundi di negara ini. – UMNO ONLINE