#HPU914: Rapatkan Saf Hadir Jayakan Himpunan Demi Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 13 Sept – “Marilah seluruh rakyat Malaysia yang mencintai keamanan, keharmonian, kesetiaan agar bersama-sama rapatkan saf untuk menyaksikan peristiwa bersejarah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) demi masa hadapan ummah serta negara yang dicintai.”

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Latipah Omar berkata biarpun sebelum ini berbagai-bagai persepsi yang diberikan kepada UMNO dan PAS namun Himpunan Penyatuan Ummah cukup bererti buat kedua-dua parti terbesar Melayu dan Islam ini.

Katanya, perjuangan yang murni ini hendaklah diteruskan walau berbagai ancaman, kutukan malahan fitnah yang mengaitkan kerjasama ini seolah-olah meminggirkan kaun-kaum lain apatah lagi telah terbukti perjuangan ini bergerak secara berjemaah dan bukannya bersendirian.

“Mahu tak mahu kita perlu berjemaah supaya kita boleh menggerakkan perjuangan ini. Tiada ‘lone rangers‘ dalam perjuangan ini. Musuh-musuh Islam akan menggagalkan usaha murni UMNO dan PAS, mereka suka agar kita leka dan lalai demi untuk menghancurkan Islam, namun dalam jemaah kita akan saling mengingatkan.

“Tak boleh kita biarkan musuh masuk ke dalam kawasan kita dan membiarkan bangsa kita bersahaja dengan perjuangan ini.  ita perlulah sanggup berkorban demi menegakkan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, penyatuan UMNO dan PAS membuktikan kepimpinan parti berjiwa besar, mengenepikan segala sejarah lampau demi suatu matlamat penyatuan ummah yang lebih kukuh lagi.

“Penyatuan ini bukannya sepintas angin berlalu namun pengorbanan dan persetujuan kedua-dua parti dalam memperkasakan ummah,” ujarnya.

Tambahnya lagi UMNO dan PAS merupakan suatu pentas yang terbaik untuk membuktikan gabungan ini mampu mengurus negara ini yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit