14 Sept Bermulanya Naratif Baru Malaysia, #HPU914 Untuk Semua… Bukan Hanya UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan 14hb nanti bukan lagi soal taawun atau muafakat UMNO-PAS tetapi ia merupakan tarikh bermulanya naratif baru politik Malaysia, yang sangat diperlukan untuk menarik keluar negara dari terjerumus makin jauh menjadi negara yang gagal serba-serbi, baik ekonomi, politik, sosial dan cara hidup sebuah negara berbilang kaum agama bahasa dan budaya.

Katanya, kebertanggungjawaban pada nusa bangsa dan agama amat mendalam serta beban tanggungjawab ini mahu dipikul penuh rasa tanggungjawab.

“Saya terbaca banyak penulisan dan komentar jurnalis, penganalisa politik dan ahli akademik mengenai #HPU914 Sabtu depan.

Selain dari tertarik dgn kepelbagaian pendapat, ternyata ramai yg tersasar dari apakah sebenarnya intipati piagam muafakat baru UMNO-PAS itu nanti, rata-rata berpendapat ini suatu perhimpunan Melayu.”

Katanya, ini termasuklah Jocelyn Tan yang menterjemahnya sebagai ‘Muslim Unity Rally’ dan tidak ‘People Unity Rally’.

“Setakat ini strategi tidak menghebahkan apa piagam itu dan apa kandungan dokumen taawun nampaknya berhasil, malah sudah kita dapat lihat ‘tembakan-tembakan yang tersasar’ datang dari beberapa penjuru. Itu sudah kita jangkakan.

“Satu perkara yang ramai mudah lupa. UMNO dan PAS adalah dua parti yang wujud sebelum Merdeka. Kedua-dua parti aktif memberi input terhadap penggubalan Perlembagaan Negara. Beberapa memorandum diserahkan kepada Suruhanjaya Reid yang di tugaskan menggubal dokumen penting itu, terutamanya pada tahun-tahun 1955/56.

“Ramai juga terlupa kedua-dua parti asalnya satu, terujud dalam bentuk UMNO 1946, kemudiannya darinya tertubuh PAS 1951,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, juga sering dilupakan, kedua parti ini dengan mudah bertaawun selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan selanjutnya bertanggungjawab mengasaskan Barisan Nasional, suatu muafakat parti-parti politik pasca MAGERAN, yang terbukti menjadi formula politik yg byk membawa kesejahteraan kepada Malaysia.

“Dengan latar belakang sedemikian, amatlah dangkal jika muafakat UMNO-PAS kali ini dilihat dari perspektif sempit dan eksklusif kepada UMNO dan PAS semata mata. Itu sebenarnya kaca mata parti politik baru yang terasa terancam dengan muafakat ini

“UMNO dan PAS melihat kepada senario dan landskap politik nasional kini dengan kanta politik yang luas dan mendalam. Sebagai parti yang sentiasa menjadi paksi utama membina negara bangsa, perkembangan politik tanah air di teropong dengan mata hati dan firasat yg cukup mendalam.”

Ujarnya, tidak dinafikan, taawun ini diikat dengan keyakinan kedua-dua parti terhadap Islam itu sendiri sebagai Ad-din (way of life), tetapi bukannya Islam yang sempit, yang jinggo, yang cauvanis, tapi Islam yang benar, yang selama ini terus menjadi asas membina negara bangsa di Malaysia

“Model ‘Marriage of convenience’, model politik Marchiavelli ‘the end justify the means’ atau politik ‘Personality Cult’ tidak dapat bertahan lagi… masa semakin suntuk buat semua Malaysia perlu di kembalikan kepada asas politik yang kukuh lagi berkemampuan tinggi.

“Justeru itu, perhimpunan 14hb signifikannya bukan pada saiznya, ia bukan ‘indoor ICERD Rally’ , ia satu perhimpunan kelompok pendokong politik serta pimpinan mkat madani untuk menyaksikan dan memahami satu naratif baru politik tanah air berasaskan aspirasi membina Malaysia yang majmuk, menjadi lebih sejahtera.”

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, ia suatu pernyataan keazaman atau iltizam baru politik, yang ditaja dua parti terbesar dan tertua di Malaysia.

“Ia adalah penjelmaan fajar baru politik untuk semua, yang dibina atas runtuhan harapan rakyat, menuju masa depan Malaysia yang majmuk untuk lahir swmula sebagai negara ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’… Insya-Allah”

Justeru katanya, semua di jemput hadir atau mengikuti siaran langsung #HPU914. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit